RON95 kekal RM1.99 seliter walaupun pasaran minyak naik – PM
- nabalunews
- 16 minutes ago
- 1 min read

11 Mac 2026
KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan untuk mengekalkan harga petrol subsidi RON95 pada paras RM1.99 seliter walaupun harga minyak global meningkat susulan ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan mengekalkan harga itu adalah bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan kos sara hidup akibat lonjakan harga minyak global yang seterusnya menyebabkan kenaikan harga barang keperluan lain.
Menurutnya, ia merupakan satu langkah sukar kerana kebanyakan negara termasuk negara jiran sudah mula menaikkan harga.
“Sebab itu saya telah maklumkan kepada Jemaah Menteri bahawa ini satu keputusan yang sukar.
“Tetapi RON95 akan dikekalkan pada paras RM1.99 seliter walaupun harga pasaran jauh lebih tinggi daripada harga sebenar, apalagi jika dibandingkan dengan harga di negara jiran, tiga kali ganda,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya, hari ini.
Anwar berkata keterjaminan bekalan produk petroleum negara ketika ini mencukupi untuk tempoh sekurang-kurangnya sehingga Mei depan.
Tambah beliau, meskipun ketegangan di Asia Barat masih berterusan, bekalan minyak di Malaysia kekal terkawal.
“Itu kita dalam keadaan yang sangat membanggakan, Alhamdulillah, kerana bila kita semak dengan Petronas terutamanya, kita dapati bekalan produk petroleum mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei 2026.
“Ini tentunya berbeza daripada keadaan di kebanyakan negara lain. Sebab itu, saya selalu tekankan tentang isu tatakelola, pengurusan yang cekap dan beramanah dan profesional,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof, diarahkan mempengerusikan jawatankuasa berkaitan penguatkuasaan bahan api seperti diesel agar ia terkawal di Semenanjung dan tidak naik harga di Sabah dan Sarawak selain mengekang kes penyeludupan.
Katanya, Fadillah dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan memastikan pengawasan lebih teliti dan tindakan lebih tegas terhadap sebarang usaha penyeludupan.











