Pelarasan perbelanjaan hanya libatkan kos tidak kritikal – MOF
- nabalunews
- 3 hours ago
- 1 min read

30 April 2026
KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan (MOF) menegaskan pelaksanaan panduan pelarasan perbelanjaan ketika ini hanya melibatkan perbelanjaan tidak kritikal dan tidak menjejaskan fungsi utama kerajaan.
Dalam kenyataannya hari ini, MOF berkata semua perbelanjaan teras termasuk perkhidmatan asas, keselamatan, kesihatan dan pendidikan akan diteruskan seperti yang telah diluluskan dalam Belanjawan 2026.
Jelas MOF, ia meliputi perbelanjaan untuk kementerian kritikal seperti Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia yang merupakan antara kementerian yang mempunyai peruntukan tertinggi dalam Belanjawan tahun ini.
“Panduan pelarasan ini merangkumi langkah seperti penangguhan penganjuran acara, menghadkan kunjungan serta latihan ke luar negara, penjimatan utiliti serta pengoptimuman rizab simpanan agensi.
“Selain itu, pengisian jawatan tidak kritikal turut ditangguhkan sebagai sebahagian daripada usaha mengurus kewangan negara secara berhemah,” katanya.
Menurut MOF, langkah pelarasan tersebut penting bagi mewujudkan ruang fiskal untuk membiayai bantuan dan subsidi bersasar khususnya kepada golongan serta sektor rentan yang terkesan akibat krisis bekalan global.
Katanya, usaha proaktif dan sistematik akan terus dipergiatkan untuk meningkatkan kecekapan perbelanjaan yang optimum bagi memperkukuh daya tahan negara dalam berhadapan krisis bekalan global yang dijangka memberi impak mendalam dan berpanjangan kepada ekonomi negara.
“MOF juga komited untuk terus memperkukuh keupayaan tindak balas krisis dengan meneliti pendekatan yang seimbang dengan memastikan perkhidmatan asas terus dibiayai, sokongan kepada ekonomi kekal mencukupi dan pada masa sama kedudukan kewangan negara kekal kukuh,” katanya.















Comments