top of page

Pengambilan darah di farmasi komuniti perlu lesen sah

  • nabalunews
  • 4 hours ago
  • 1 min read

30 April 2026


PUTRAJAYA: Perkhidmatan saringan kesihatan termasuk pengambilan darah di farmasi komuniti hanya boleh dilaksanakan di fasiliti kesihatan yang berdaftar dan berlesen selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.


Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), di bawah Seksyen 2 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586], sebarang premis yang menyediakan perkhidmatan saringan kesihatan tertakluk kepada keperluan pendaftaran serta pelesenan di bawah akta berkenaan.


"Oleh itu, berdasarkan kepada kerangka perundangan sedia ada, premis yang menjalankan aktiviti pengambilan darah disifatkan menyediakan perkhidmatan jagaan kesihatan yang tertakluk kepada keperluan pendaftaran dan pelesenan bawah Akta 586.


"Menjalankan perkhidmatan ini tanpa pendaftaran atau lesen sah di bawah Akta 586 adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga enam tahun, atau kedua-duanya sekali," kata kementerian itu dalam kenyataan pada Khamis.


Pada masa sama, KKM mengiktiraf peranan penting farmasi komuniti dalam menyumbang kepada ekosistem penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat, namun aspek keselamatan, kualiti dan akauntabiliti perkhidmatan perlu sentiasa diutamakan.


Sehubungan itu, katanya penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan semua perkhidmatan jagaan kesihatan dijalankan di premis fasiliti kesihatan berdaftar atau berlesen mematuhi ketetapan undang-undang.


“Keperluan pendaftaran dan pelesenan adalah penting bagi menjamin keselamatan pesakit selain melindungi farmasi komuniti daripada berdepan risiko undang-undang serta reputasi sekiranya menjalankan perkhidmatan tanpa kelulusan sewajarnya,” kata kementerian itu.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page