Sabah pergiat usaha tingkat perkhidmatan kesihatan
- nabalunews
- 2 minutes ago
- 2 min read

30 April 2026
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mempergiat usaha bagi meningkatkan perkhidmatan kesihatan kritikal di negeri ini, termasuk menggantikan peralatan usang serta memperluas kemudahan parkir hospital.
Menteri Pembangunan Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Julita Majungki berkata, kerajaan negeri memandang serius keperluan memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan.
Menurutnya, kementerian melalui Jabatan Kesihatan Negeri Sabah telah mengemukakan cadangan pada 2024 bagi memperkasa perkhidmatan kesihatan negeri anataranya tuntutan autonomi lebih luas, pembangunan fasiliti, peningkatan kualiti perkhidmatan, penambahan tenaga kerja.
“Cadangan penambahbaikan ini merangkumi pelan jangka pendek, sederhana dan panjang sehingga 2035, yang turut dibentangkan di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.
“Selain itu, keperluan kesihatan Sabah juga dibincangkan secara berkala dalam mesyuarat antara Menteri Kesihatan dan anggota exco kesihatan negeri,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini.
Mengulas lanjut, Julita berkata hasil daripada usaha tersebut, sebanyak 48 projek pembangunan dan penambahbaikan perkhidmatan telah dan akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Antara projek utama termasuk pembinaan Pusat Jantung Sabah di Hospital Queen Elizabeth I, Pusat Darah Sabah, pusat pergigian pakar, klinik kesihatan baharu di Penampang, Sandakan dan Pulau Sebatik, selain naik taraf sistem rangkaian hospital.
Beliau berkata penambahbaikan dan peluasan kemudahan parkir turut diluluskan sebagai sebahagian daripada kerja-kerja naik taraf berkenaan.
Berhubung isu parkir hospital, khususnya di Hospital Queen Elizabeth I, Julita mengakui cabaran sedia ada namun memaklumkan usaha sedang dilaksanakan bagi menanganinya.
“Mengenai cadangan tambahan parkir sementara, saya kurang pasti bagaimana kita boleh melakukan itu kerana kawasan yang ada di situ agak terhad, namun kerajaan negeri akan mencari kaedah menyelesaikan isu ini.
“Lawatan bersama Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi ke Hospital Queen Elizabeth I baru-baru ini bertujuan meneliti kemungkinan mewujudkan laluan baharu bagi memperbaiki aliran trafik dalam kawasan hospital,” jelasnya.
Pada masa sama, katanya kerajaan negeri dan juga Kabinet telah meluluskan sebuah jawatankuasa yang dipanggil sebagai Jawatankuasa Kerajaan dan Swasta untuk melihat semua aspek penyelesaian masalah, termasuk masalah parkir.
“Melalui kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta, kita akan meneliti kaedah terbaik untuk memanfaatkan ruang sedia ada,” katanya.
“Kita harap nanti, dalam tempoh yang terdekat ini, kita boleh mencari penyelesaian yang memberi manfaat kepada para pesakit ataupun keluarga yang datang ke situ nanti,” katanya.
Beliau turut memaklumkan masalah parkir yang sama turut dihadapi hospital utama lain, termasuk Hospital Queen Elizabeth II dan Hospital Duchess of Kent di Sandakan.















Comments