top of page

Madius cadang dana demografi Persekutuan bantu Sabah tanggung kos perkhidmatan awam

nabalunews
3 hours ago
1 min read

KUALA LUMPUR, 15 Okt - Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau mencadangkan penubuhan Dana Tanggungjawab Demografi Persekutuan bagi membantu Sabah menampung kos tambahan penyediaan perkhidmatan awam susulan kehadiran penduduk bukan warganegara di negeri itu.


Beliau berkata urusan imigresen, kawalan sempadan dan kewarganegaraan merupakan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, namun Sabah turut menanggung tekanan perbelanjaan terhadap hospital, sekolah, keselamatan dan utiliti.


“Sabah berkongsi perbelanjaan tambahan dengan jutaan bukan warganegara yang berada di Sabah,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat di sini pada Selasa


Madius berkata berdasarkan anggaran bagi 2025, Sabah mempunyai 1.04 juta penduduk bukan warganegara, termasuk pekerja asing yang sah, pelarian Filipina, individu tanpa kewarganegaraan dan pendatang tanpa izin.


Menurutnya, dana yang dicadangkan itu perlu berasaskan data penduduk dan kos sebenar perkhidmatan, di samping disertai penyelesaian berkaitan dokumentasi serta pengesahan status penduduk.


"Antara bebanan yang perlu ditangani oleh Kerajaan Sabah ialah masalah sosial seperti penempatan setinggan serta kecurian bekalan air dan elektrik.


"Tindakan memotong sambungan haram sahaja tidak memadai kerana penyelesaian menyeluruh turut memerlukan penguatkuasaan, penyelesaian penempatan serta penyediaan bekalan air dan elektrik yang sah dan selamat.


"Tanggungjawab Kerajaan Persekutuan perlu diterjemahkan melalui sokongan kewangan yang bersesuaian bagi membantu Sabah menangani kesan demografi terhadap penyampaian perkhidmatan awam," tambah Presiden Kehormat UPKO itu lagi.


Madius turut menegaskan bahawa pengurusan isu berkenaan perlu dilaksanakan secara menyeluruh bagi mengurangkan beban yang ditanggung kerajaan negeri dan memastikan kemudahan asas dapat disediakan dengan lebih berkesan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page