top of page

RUU Pengurusan Bangunan 2026 Perkukuh Tadbir Urus, Tingkat Kualiti Hidup Rakyat – Donald Mojuntin

  • nabalunews
  • 1 hour ago
  • 2 min read

30 April 2026


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog, Datuk Donald Peter Mojuntin menyatakan sokongan penuh terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Pengurusan Bangunan 2026 yang disifatkan sebagai pelengkap penting kepada sistem pemilikan hartanah di Sabah.


Donald berkata, isu utama selepas pemberian hak milik subsidiari ialah soal pengurusan bangunan yang sering diabaikan.


Katanya, realiti di lapangan menunjukkan pelbagai kelemahan seperti lif tidak diselenggara, kawasan awam terbiar, ketidaktelusan dalam pengurusan dana penyelenggaraan serta pertikaian berpanjangan antara pemilik dan pihak pengurusan.


“Keadaan ini akhirnya menyebabkan rakyat menjadi mangsa dan menanggung akibat daripada kelemahan sistem pengurusan yang tidak tersusun,” katanya ketika membahaskan RUU Pengurusan Bangunan 2026, hari ini.


Menurutnya, RUU Pengurusan Bangunan ini akan memperjelaskan struktur pentadbiran, menetapkan tanggungjawab setiap pihak serta memperkukuh mekanisme pemantauan dan penyelesaian pertikaian.


Katanya, pelaksanaan enakmen ini bukan sahaja meningkatkan kualiti hidup penghuni, malah turut memelihara nilai hartanah mereka dalam jangka masa panjang.


Sehubungan itu, Donald menekankan RUU ini perlu dilihat seiring dengan RUU Tanah (Hakmilik Subsidiari) 2026 yang akan dibentangkan kemudian.


“Satu undang-undang memberi hak milik, manakala satu lagi memastikan pengurusan. Kedua-duanya perlu berjalan seiring bagi memastikan sistem perumahan yang mampan dan berkesan.


“Namun begitu, kejayaan undang-undang bukan hanya terletak pada peruntukannya, tetapi kepada keberkesanan pelaksanaan.


“Jika proses masih lambat, sistem tidak cekap dan koordinasi antara agensi lemah, maka undang-undang yang baik tidak akan memberi kesan sebenar kepada rakyat,” katanya.


Sementara itu, Donald berkata, beberapa cadangan penambahbaikan turut dikemukakan termasuk menetapkan tempoh masa wajib bagi pengeluaran hak milik subsidiari dan mengenakan penalti tegas terhadap pemaju yang gagal mematuhi syarat.


“Ia termasuk mewujudkan sistem pemantauan digital yang telus dan mudah diakses oleh rakyat.


“Saya turut mencadangkan agar penguatkuasaan dilaksanakan secara konsisten di semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta memastikan Pesuruhjaya Pengurusan Bangunan yang bakal ditubuhkan menjalankan fungsi dengan berintegriti dan berkesan.


“Kita tidak boleh lagi berada dalam situasi di mana undang-undang wujud tetapi gagal memberi impak di lapangan. Rakyat hari ini semakin matang dan menilai berdasarkan hasil yang mereka rasai,” katanya.


Mengakhiri perbahasannya, Donald menyifatkan RUU ini sebagai satu langkah ke hadapan yang mampu membawa harapan kepada rakyat Sabah untuk memiliki kediaman yang lebih terjamin, selamat dan terurus.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page