28 Pelajar Kolej Vokasional Kudat Sertai Khidmat Komuniti di Kota Belud
- nabalunews
- 1 hour ago
- 2 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
KOTA BELUD, 24 Ogos – Seramai 28 orang ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Kolej Vokasional Kudat bersama enam pensyarah penasihat berjaya menjalankan Program Khidmat Komuniti selama tiga hari di Kampung Tambulion Ulu, Kota Belud, bermula 21 hingga 23 Ogos 2026.
Program yang berakhir semalam itu dirasmikan oleh Pengarah Kolej Vokasional Kudat, Roseberth @ Mohammad Jalilul, dalam satu majlis penutupan yang turut dihadiri barisan pentadbiran kolej, guru penasihat MPP serta kepimpinan Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tambulion Ulu.

Pelbagai aktiviti dilaksanakan sepanjang program, termasuk menarik kabel elektrik ke Taman Tani, gotong-royong membersihkan kawasan sekitar, menyediakan papan tanda larangan Tagal, serta merobohkan pondok Tagal usang.
Aktiviti santai seperti sukaneka turut diadakan, manakala konsep keluarga angkat memberi peluang pelajar tinggal bersama penduduk setempat bagi mengeratkan hubungan.

Program ini juga menjalankan outreach kepada pelajar sekolah Tingkatan 1 hingga 5 bagi memperkenalkan peluang pendidikan di Kolej Vokasional Kudat.
Dalam ucapannya, Roseberth menegaskan TVET wajar menjadi pilihan utama generasi muda dan menyuarakan aspirasi "satu keluarga, satu graduan diploma TVET". Beliau turut menyatakan kesediaan kolej membantu pembangunan gazebo di Taman Tani menggunakan kepakaran pelajar Program Binaan.
Ketua Kampung Tambulion Ulu, Daiman Basinau, menyampaikan penghargaan dan berharap program seumpama ini diteruskan pada masa hadapan.
Program tiga hari itu memberi kesan positif terhadap peningkatan kualiti hidup, perpaduan, pembangunan diri dan kesedaran sosial peserta, sekali gus membuktikan pendidikan turut terbina melalui pengalaman dan khidmat kepada masyarakat.
Program ini turut mendapat sokongan padu daripada barisan kepimpinan kampung termasuk Pengerusi JKKK, Boniface @ Doni Jiran, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) , Handly Sekukut, serta Ketua Skim Rondaan Sukarela (SRS) , Kaunsin Pahua, di samping seluruh keluarga angkat dan masyarakat Kampung Tambulion Ulu.















Comments