top of page

Sabah Raih Tiga Emas, Satu Perak Di Mr Malaysia Ke-55

nabalunews
14 minutes ago
2 min read

ALOR SETAR, KEDAH, 5 Okt — Kontinjen Sabah mencatat pencapaian membanggakan pada Kejohanan Bina Badan dan Fizik Peringkat Kebangsaan Mr Malaysia ke-55, 2026, dengan membawa pulang tiga pingat emas dan satu pingat perak menerusi penyertaan 11 atlet.


Tiga pingat emas Sabah disumbangkan oleh Elvian Ondui, yang muncul juara kategori Men’s Master 45–55 Years; Martin Magalai, juara Men’s Master Above 55 Years; serta Nicholas Li, yang menjuarai kategori Men’s Bodybuilding Lightweight 70kg.


Pingat perak pula diraih Kenny Liaw selepas menduduki tempat kedua dalam kategori Men’s Junior Above 70kg.


Turut mencatat keputusan membanggakan ialah atlet Sabah, Bob Frender James, yang menduduki tempat kelima dalam kategori Men’s Bodybuilding Middleweight 85kg.


Presiden Persatuan Bina Badan Negeri Sabah (SBBA), Clarence Runggi, berkata pencapaian berkenaan membuktikan atlet Sabah semakin mampu bersaing di peringkat kebangsaan, selain menunjukkan perkembangan positif berbanding penyertaan sebelum ini.


“Kita sangat berbangga dengan pencapaian pasukan Sabah. Dengan penyertaan 11 atlet, kita berjaya membawa pulang tiga emas dan satu perak.


“Pencapaian ini bukan sahaja kejayaan para atlet, tetapi turut mencerminkan komitmen, disiplin dan kerja keras atlet, jurulatih serta barisan pengurusan pasukan,” katanya.


Menurut beliau, kejayaan itu turut menjadi suntikan semangat kepada SBBA untuk terus memperkukuh program pembangunan atlet serta melahirkan lebih ramai wakil Sabah yang mampu bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.


“Prestasi kali ini menunjukkan perkembangan yang positif. Kita akan terus mengenal pasti bakat baharu, memperkukuhkan program latihan dan memberikan lebih banyak pendedahan pertandingan kepada atlet Sabah,” katanya.


Kontinjen Sabah diketuai Clarence selaku Presiden SBBA, dengan dibantu Setiausaha SBBA Diana Ahntony, Ketua Jurulatih Jeffery Thaddeus dan Penolong Jurulatih Johnny Said.


Kejayaan itu menjadi penutup yang membanggakan kepada persiapan panjang atlet Sabah selepas melalui proses pemilihan dan latihan bagi membentuk pasukan terbaik untuk mewakili negeri pada pentas Mr Malaysia 2026.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page