Meilaura Dora Jimmy Terus Harumkan Nama Sabah Dan Malaysia Di Pentas Asia

PENAMPANG, SABAH – Atlet bina badan wanita dari Penampang, Sabah, Meilaura Dora Jimmy, sekali lagi mengharumkan nama Malaysia apabila berjaya membawa pulang pingat gangsa dalam kategori Women’s Bodybuilding Up to 55kg pada 58th Asian Bodybuilding & Physique Sports Championships 2026 di Bangkok, Thailand.
Kejayaan tersebut menambah satu lagi pencapaian dalam perjalanan panjang Meilaura sebagai atlet bina badan negara, selepas sebelum ini berjaya muncul juara Asia selama dua tahun berturut-turut pada 2024 dan 2025.
Ketika ditemui selepas kejohanan, Meilaura menyifatkan kejayaan meraih gangsa itu sebagai satu pencapaian yang tetap amat bermakna walaupun tidak mengulangi kejayaan meraih emas seperti pada dua edisi sebelumnya.
“Saya berasa amat bersyukur dan bangga kerana masih diberi peluang untuk berdiri di podium dan membawa nama Malaysia serta Sabah di pentas Asia.
“Walaupun kali ini saya meraih gangsa dan bukan emas seperti kejohanan Asia sebelum ini, saya tetap melihat pingat ini sebagai satu pencapaian yang sangat bermakna,” katanya.
Menurut Meilaura, persiapan untuk kejohanan tersebut bukan sesuatu yang mudah kerana sebagai atlet bina badan, persediaan bukan hanya tertumpu kepada latihan, malah turut melibatkan pemakanan, tidur, berat badan, posing, conditioning dan kekuatan mental.
“Kadang-kadang orang hanya nampak kita di atas pentas selama beberapa minit, tetapi di belakang pentas itu ada berbulan-bulan disiplin dan pengorbanan,” katanya.
TERPAKSA TURUN KE KATEGORI UP TO 55KG
Menariknya, Meilaura pada asalnya bersedia untuk bertanding dalam kategori Over 55kg. Bagaimanapun, disebabkan penyertaan dalam kategori tersebut tidak mencukupi, beliau akhirnya perlu bertanding dalam kategori Women’s Bodybuilding Up to 55kg.
“Pada asalnya saya bersedia untuk bertanding dalam kategori Over 55kg. Tetapi apabila penyertaan dalam kategori tersebut tidak mencukupi, saya perlu bertanding dalam kategori Up to 55kg.
“Sebagai atlet yang sudah lama bertanding, saya belajar bahawa kita perlu bersedia menerima perubahan. Kita tidak boleh memilih siapa lawan kita atau keadaan pertandingan. Apa yang kita boleh kawal ialah persediaan dan bagaimana kita tampil di atas pentas,” katanya.
Menurutnya, persaingan dalam kategori tersebut cukup sengit dengan penyertaan atlet dari beberapa negara Asia termasuk Vietnam, India, Nepal dan Sri Lanka yang masing-masing mempunyai pengalaman serta tahap conditioning yang tinggi.
“Setiap atlet mempunyai kelebihan masing-masing dari segi bentuk badan, muscularity, conditioning dan presentation. Jadi saya menghormati semua pesaing saya.
“Bagi saya, berada di atas pentas bersama atlet-atlet terbaik Asia sendiri sudah menjadi satu pengalaman yang sangat bernilai,” katanya.
Meilaura turut mengakui bahawa ketika berada di atas pentas, beliau cuba membaca keputusan berdasarkan call-out dan perbandingan yang diberikan juri, namun tidak mahu terlalu yakin mengenai kedudukan akhir.
“Saya berharap untuk mendapat tempat yang baik, tetapi saya tidak mahu terlalu memikirkan keputusan ketika itu. Saya hanya fokus untuk memberikan presentation yang terbaik.
“Apabila diumumkan mendapat gangsa, saya tetap bersyukur kerana usaha saya membawa saya kembali ke podium Asia,” katanya.
DUA EMAS ASIA DAN MOST IMPROVED ATHLETE
Kejayaan gangsa kali ini hadir selepas Meilaura mencipta pencapaian membanggakan pada dua edisi sebelumnya.
Pada 56th Asian Bodybuilding & Physique Sports Championships 2024 di Batam, Indonesia, yang berlangsung pada 6 hingga 12 Ogos 2024, beliau berjaya meraih pingat emas Women’s Bodybuilding Up to 55kg.
Setahun kemudian, pada 57th Asian Bodybuilding & Physique Sports Championships 2025 di Bangkok, Thailand, dari 18 hingga 25 Ogos 2025, Meilaura sekali lagi muncul juara dan membawa pulang pingat emas dalam kategori yang sama.
Pada tahun yang sama, beliau turut menerima pengiktirafan Most Improved Athlete 2025.
Meilaura melihat pencapaian gangsa tahun ini sebagai satu lagi bab dalam perjalanan kariernya sebagai atlet.
“Sudah tentu setiap atlet mahu menang emas. Saya juga begitu. Tetapi saya tidak mahu melihat pingat gangsa ini sebagai sesuatu yang negatif hanya kerana saya pernah memenangi emas sebelum ini.
“Dalam sukan, kita tidak semestinya akan menang setiap kali. Yang penting ialah kita sentiasa bersedia untuk belajar, memperbaiki kelemahan dan kembali lebih baik,” katanya.
Beliau mengakui keputusan tersebut turut menjadi motivasi untuk memperbaiki prestasi pada pertandingan akan datang, khususnya dari segi conditioning dan presentation.
“Saya anggap keputusan ini sebagai satu wake-up call untuk melihat semula apa yang perlu saya tingkatkan. Saya tidak mahu hanya bergantung kepada kejayaan masa lalu,” katanya.
LEBIH DUA DEKAD DALAM SUKAN BINA BADAN
Meilaura, yang kini berusia 46 tahun, telah lebih dua dekad berkecimpung dalam bidang kecergasan dan sukan bina badan.
Beliau kini bekerja dalam industri fitness sebagai personal trainer dan coach, selain terus aktif sebagai atlet bina badan negara.
Menurutnya, perjalanan panjang sebagai atlet bukan sentiasa dipenuhi kejayaan kerana beliau turut pernah berdepan dengan kekalahan, kecederaan, masalah peribadi dan pelbagai cabaran lain.
“Apa yang mendorong saya adalah minat terhadap sukan ini dan keinginan untuk membuktikan bahawa atlet dari Sabah juga mampu bersaing di peringkat dunia.
“Setiap kali saya hampir berputus asa, saya akan ingat mengapa saya bermula. Saya mahu terus membawa nama Sabah dan Malaysia selagi saya masih mempunyai kemampuan untuk bersaing,” katanya.
Bagi Meilaura, cabaran terbesar bukan semata-mata dari segi fizikal tetapi juga mental.
“Menjadi atlet dalam tempoh yang panjang memerlukan kita belajar menghadapi kemenangan, kekalahan, kritikan, tekanan, kecederaan, diet yang ketat dan pengorbanan dalam kehidupan seharian.
“Saya belajar untuk tidak membiarkan satu keputusan pertandingan menentukan nilai diri saya. Kalau menang, saya bersyukur. Kalau kalah, saya belajar,” katanya.
SASARAN UNTUK KEMBALI LEBIH BAIK
Mengenai sasaran selepas kejohanan di Bangkok, Meilaura berkata beliau mahu memberikan sedikit masa kepada tubuh untuk pulih sebelum membuat persediaan seterusnya.
“Target saya adalah untuk terus bersaing di peringkat antarabangsa dan membawa pulang keputusan yang lebih baik untuk Malaysia dan Sabah.
“Saya mahu menggunakan pengalaman daripada pertandingan ini untuk memperbaiki kondisi saya dan kembali dengan lebih baik,” katanya.
Beliau berkata sasaran bukan sekadar mengenai pingat, sebaliknya mahu mencapai tahap fizikal dan prestasi yang boleh dibanggakan sebagai seorang atlet.
HARGAI SOKONGAN SEMUA PIHAK
Dalam pada itu, Meilaura turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu dan memberikan sokongan sepanjang perjalanan kariernya.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada WBPF, MBBF, KBS, MSN, MSN Sabah dan SBBA, selain coach kebangsaan En Buda Anchah dan coach negeri En Jeffrey Thaddius.
Penghargaan turut diberikan kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah III, Datuk Ewon Benedick, keluarga, rakan-rakan, penyokong serta semua pihak yang sentiasa memberikan sokongan kepadanya.
“Saya juga ingin berterima kasih kepada semua pihak media yang memberi ruang dan sokongan, termasuk Nabalu News, Borneo Daily Bulletin dan Daily Express.
“Tidak dilupakan Prime Fitness atas tajaan tempat saya membuat latihan serta semua rakan dalam komuniti bodybuilding yang sentiasa menyokong saya,” katanya.
Meilaura turut menzahirkan penghargaan kepada Datuk Paul Chua, serta semua pihak yang memberikan kepercayaan dan sokongan terhadap perjalanan beliau sebagai atlet.
Menurutnya, kejayaan tersebut bukan hasil usaha seorang diri.
“Kadang-kadang sokongan itu datang dalam bentuk yang kecil, iaitu satu mesej, satu doa, satu kata-kata semangat atau seseorang yang bertanya, ‘Macam mana preparation?’
“Bagi seorang atlet, perkara seperti itu sangat bermakna. Pingat ini bukan hasil usaha saya seorang. Ia adalah hasil daripada sokongan ramai orang di belakang saya,” katanya.
Beliau turut mengucapkan syukur kepada Tuhan kerana diberikan kekuatan untuk terus berdiri dan bersaing sehingga hari ini.
PESANAN BUAT ATLET MUDA SABAH
Mengakhiri perkongsian, Meilaura menyeru atlet-atlet muda Sabah supaya tidak takut untuk mempunyai impian besar.
“Kalau impian kamu adalah untuk mewakili Sabah atau Malaysia, mulakan dengan serius walaupun mungkin pada awalnya tiada siapa mengenali kamu.
“Belajar, berlatih, dengar nasihat coach, jaga disiplin dan belajar bersabar. Jangan bandingkan perjalanan kamu dengan orang lain kerana setiap atlet mempunyai perjalanan yang berbeza,” katanya.
Menurut Meilaura, kejayaan tidak datang dalam satu malam dan atlet perlu bersedia melalui pelbagai cabaran sepanjang perjalanan.
“Saya sudah lebih dua dekad dalam sukan bina badan. Ada kemenangan, ada kekalahan, ada masa saya rasa sangat kuat dan ada juga masa saya rasa penat.
“Tetapi jangan biarkan satu kekalahan membuatkan kamu percaya bahawa kamu tidak mampu. Kalau jatuh, bangun semula. Kalau kalah, belajar daripada kekalahan itu. Kalau belum berjaya, teruskan usaha.
“Saya harap lebih ramai atlet muda Sabah berjaya bukan sahaja di peringkat Asia, malah di peringkat dunia. Atlet dari Sabah mampu bersaing dengan atlet luar.
“Sabah boleh! Tetapi kita perlu bekerja keras, disiplin dan belajar bersabar. Carilah jurulatih untuk memimpin anda merealisasikan impian anda,” katanya.















Comments