Tamu Geopark Kota Belud 2026 pembuka tirai Tamu Besar Kota Belud

Oleh: Romie Stanley DGuns
KOTA BELUD, 7 Okt – Taman-Taman Sabah selaku agensi pelaksana Kinabalu UNESCO Global Geopark (KUGGp) melalui Unit Pengurusan Geopark, dengan kerjasama Pejabat Daerah Kota Belud, akan menganjurkan Sambutan Tamu Geopark Kota Belud 2026 pada 10 hingga 11 Oktober 2026 di Dataran Kota Belud.
Program itu merupakan acara pembukaan Tamu Besar Kota Belud yang akan berlangsung pada 17 dan 18 Oktober dan bertujuan memperkenalkan serta mempromosikan kekayaan geologi, warisan budaya dan potensi komuniti setempat kepada masyarakat umum.
Pada hari pertama, 10 Oktober, tumpuan akan diberikan kepada sesi perkongsian ilmu yang menampilkan penceramah terkemuka. Sesi itu akan membincangkan topik Mengenali Kinabalu UNESCO Global Geopark, diikuti perkongsian mengenai Geologi Kota Belud dan Kinabalu UNESCO Global Geopark oleh Profesor Emeritus Dr. Felix Tongkul, serta Warisan Budaya dan Potensi Komuniti Kota Belud oleh Profesor Madya Dr. Jurry Foo.
Selain sesi ilmiah, pelbagai aktiviti komuniti turut diadakan, antaranya Zumba bertemakan tradisi, Pameran & Tamu Geopark yang dibuka kepada umum, serta Pertandingan Mewarna bertemakan “Dari bumi, kita mengenal budaya” bagi kategori Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah. Pengunjung juga berpeluang menyaksikan persembahan Tarian Kreatif Bajau Sama oleh SMK Pekan II, Kota Belud, dan nyanyian tradisional.
Pada waktu malam, program diteruskan dengan Malam Kebudayaan yang menampilkan persembahan Muzik Tradisional Mengagung oleh Persatuan Seni & Warisan Kg. Tambulion, persembahan Nyanyian Komuniti dan Bakar Tempatan, serta Muzik Tradisional Persatuan Bajau Sama Cawangan Kota Belud. Kemuncak malam tersebut akan diserikan dengan persembahan artis tempatan daripada etnik Kadazandusun, Bajau Sama dan Iranun, serta persembahan kemuncak oleh artis tempatan, George Lian.
Penganjuran Sambutan Tamu Geopark Kota Belud 2026 itu diharap dapat menjadi platform strategik dalam memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap pemuliharaan alam semula jadi dan budaya, sekali gus merancakkan lagi sektor pelancongan warisan di Daerah Kota Belud.















Comments