top of page

SEDCO Mining, Jabatan Air Sabah meterai MoU

  • nabalunews
  • 36 minutes ago
  • 2 min read

25 Ogos 2026


KOTA KINABALU: SEDCO Mining Sdn Bhd dan Jabatan Air Sabah (JANS) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi tempoh lima tahun untuk melaksanakan pengurusan dan pemantauan pasir di kawasan muka sauk loji rawatan air di seluruh Sabah secara terancang, terkawal dan lestari.


Kerjasama itu bertujuan memastikan aktiviti pengurusan pasir dan mendapan tidak menjejaskan operasi pengambilan air mentah serta kepentingan loji rawatan air, sekali gus membantu memastikan kelancaran dan kesinambungan bekalan air kepada rakyat.


Pengumpulan pasir dan mendapan di kawasan muka sauk boleh memberi kesan kepada kelancaran operasi pengambilan air mentah sekiranya tidak diurus dengan baik.


Sehubungan itu, pengurusan sumber pasir secara sistematik bukan sahaja mempunyai nilai ekonomi, malah penting dalam memastikan keberkesanan infrastruktur bekalan air dan kesejahteraan rakyat.


MoU berkenaan juga mencerminkan komitmen bersama antara agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan dalam memastikan sumber negeri diurus secara bertanggungjawab, telus dan mampu memberikan nilai tambah kepada Sabah.


Kerjasama berkaitan pengurusan pasir di kawasan berkenaan sebelum ini dimulakan menerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) bersama Jabatan Air Sabah melalui MoU selama setahun bagi membantu memastikan kelancaran operasi serta pembekalan air berterusan di daerah terlibat.

Kerjasama itu kemudiannya diteruskan oleh SEDCO Mining selepas syarikat berkenaan diberikan kuasa sebagai pemegang konsesi bagi pengurusan batu dan pasir sungai serta laut di seluruh Sabah kecuali Kota Belud, dengan kontrak berkenaan diteruskan bagi tempoh setahun lagi dari 2024 hingga 2025.


Susulan pelbagai penambahbaikan dalam aspek pengurusan dan operasi, SEDCO Mining melalui Unit Pelaksana telah menjalankan kajian serta perbincangan awal bersama Jabatan Air Sabah bagi memperincikan pelaksanaan kerjasama untuk tempoh lima tahun itu.


Menerusi kerjasama tersebut, kedua-dua pihak akan memastikan setiap aktiviti berkaitan pengurusan pasir dilaksanakan berdasarkan perancangan dan pemantauan yang sistematik serta mematuhi peraturan dan keperluan teknikal yang ditetapkan.


Gabungan kepakaran dan kekuatan kedua-dua pihak juga diharap dapat mewujudkan model pengurusan sumber yang lebih tersusun dan telus, selain memberi manfaat kepada Kerajaan Negeri serta rakyat Sabah.


Kerjasama itu turut dilihat sebagai permulaan kepada lebih banyak usaha strategik antara kedua-dua pihak dalam pengurusan sumber secara mampan, pengukuhan infrastruktur bekalan air serta menyokong pembangunan Sabah yang berterusan.


MoU berkenaan ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif SEDCO Mining Sdn Bhd, Shamsul Bahri Johari Datuk dan Pengarah Jabatan Air Sabah, Chee Chun Chieh.


Majlis itu disaksikan Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam dan Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick.


Turut hadir Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah Datuk Jonnybone Kurum, Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Ridhwan Roger Linus; Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Thomas Logijin; Pengerusi SEDCO Mining merangkap Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, Datuk Sr. Chua Ming Ling @ Alan; Timbalan Pengerusi SEDCO Mining, Datuk Johari Saiman; Setiausaha Hasil Bumi, Datuk Sernam Sing; Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Sabah, Ir. Haji Siraja Haji Bashora serta Ahli-ahli Lembaga Pengarah SEDCO Mining.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page