top of page

Mr Sabah 2026 buka potensi Kota Belud sebagai destinasi pelancongan sukan 

  • nabalunews
  • 1 hour ago
  • 3 min read

24 Ogos 2026

 

KOTA BELUD: Penganjuran Kejohanan Bina Badan dan Fizik Peringkat Negeri Sabah (Mr Sabah 2026) membuka potensi daerah ini dibangunkan sebagai antara destinasi pelancongan sukan di negeri ini.

 

Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri III Sabah, Carlyle Lajimin berkata, penganjuran kejohanan seumpama itu bukan sahaja penting dalam pembangunan atlet, malah mampu memberikan limpahan ekonomi secara langsung kepada masyarakat setempat.

 

Beliau berkata, kehadiran atlet bersama jurulatih, pegawai, ahli keluarga dan penyokong dari seluruh Sabah mampu merancakkan sektor perhotelan dan homestay, restoran, pengangkutan, perniagaan kecil serta pelbagai perkhidmatan tempatan.

 

“Ini merupakan konsep sports tourism yang perlu kita kembangkan, kerana acara ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pembangunan atlet, tetapi turut merancakkan kegiatan ekonomi dan memberikan manfaat langsung kepada komuniti setempat.

 

“Kita mahu Kota Belud bukan sahaja dikenali dengan budaya, tradisi dan keindahan alamnya, tetapi juga pilihan pelancongan sukan di Sabah,” katanya ketika berucap merasmikan Kejohanan Bina Badan dan Fizik Peringkat Negeri Sabah (Mr Sabah 2026) di Dewan Kadamaian Square, Taginambur, di sini, pada Ahad.

 

Carlyle berkata, penganjuran Mr Sabah di Kota Belud buat pertama kali merupakan satu penghormatan dan kebanggaan masyarakat daerah itu.

 

Katanya, tahun ini sebanyak 94 penyertaan atlet menyertai kejohanan itu, sekali gus membuktikan sukan bina badan semakin mendapat sambutan di Sabah.

 

“Saya berharap kejayaan penganjuran Mr Sabah 2026 ini menjadi permulaan kepada lebih banyak acara sukan peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa di Kota Belud pada masa akan datang,” katanya.

 

Dalam pada itu, beliau berkata, kejohanan berkenaan turut menjadi platform penting untuk mengenal pasti dan memilih atlet terbaik Sabah bagi mewakili Sabah ke Kejohanan Mr Malaysia 2026 yang akan berlangsung di Kedah pada 1 hingga 5 Oktober depan.

 

Beliau berharap kejohanan itu dapat menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan menjadikan sukan sebagai sebahagian daripada kehidupan.

 

Pada majlis itu, Carlye menyampaikan hadiah kepada kesemua pemenang.

 

Juara keseluruhan ‘Champ of Champ’ Mr Sabah 2026, dimenangi oleh Jesse Yong Ming King dari Polis Diraja Malaysia (PDRM).

 

Sementara itu, anugerah Best Poser Lelaki dimenangi Mohd Faez Farhan Bakar dari Radu Gym, manakala Best Poser Wanita menjadi milik Ivy K Yon dari XSport Fitness Gym. Ivy turut muncul juara kategori Bodybuilding Wanita, mengatasi Sherly Binti Lonios dari Likas Gym di tempat kedua dan Rasidah Binti Hassan dari Putra Gym Centre di tempat ketiga.

 

Bagi kategori Model Physique Wanita pula, Valeria John dari New York Fitness muncul juara, manakala Sherly menduduki tempat kedua.

 

Dalam kategori bina badan lelaki, Daniel Foo Wen Jie dari Kerkem Fitness Putatan menjuarai Bina Badan Remaja 21 Tahun 70kg Ke Bawah, manakala Kenny Liaw Yung Zhien dari O’range Gym menduduki tempat pertama bagi Remaja 21 Tahun 70kg Ke Atas.

 

Kategori Bina Badan Master 45 Tahun pula dimenangi Elvian Ondui dari KB Gym Hardcore N Fitness Centre, manakala Martin Magalai dari KB Gym muncul juara kategori 55.1kg hingga 60kg (Flyweight).

 

Breezy Alfred Dennis dari Total Fitness Gym & Nutrition menjuarai kategori 60.1kg hingga 65kg (Bantamweight), sementara Nicholas Li dari Total Fitness muncul juara kategori 65.1kg hingga 70kg (Lightweight).

 

Bagi kategori 70.1kg hingga 75kg (Welterweight), Charles Mangalai dari KB Gym muncul juara, manakala Bob Frender James dari Warrior Gym memenangi kategori 80.1kg hingga 85kg (Middleweight).

 

Redy Ondui dari KB Gym Hardcore N Fitness Centre pula menjuarai kategori 85.1kg hingga 90kg (Light Heavyweight), sementara Grace Voo dari Explosive Gym Beaufort muncul juara kategori melebihi 90kg (Heavyweight).

 

Dalam kategori Lelaki ‘Athletic Sport’, Mohammad Asraf Hamza dari Radu Gym and Fitness Centre Putatan menjuarai kategori 170cm Ke Bawah, manakala Mohd Amrie Musin dari Warrior Gym memenangi kategori 170cm Ke Atas.

 

Nicholas Li dari Total Fitness pula menambah satu lagi kemenangan dengan menjuarai kategori Lelaki ‘Athletic Physique’ 170cm Ke Bawah.

 

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page