"Sabah First Jadi Asas" - UPKO Keningau Sokong Penambahan Kerusi Parlimen
- nabalunews
- 1 hour ago
- 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
KENINGAU, 24 Ogos – Ketua Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Keningau, Kennedy Datuk John Angian Andulag, menyatakan sokongan padu terhadap cadangan penambahan kerusi Parlimen Sabah sebagai langkah memperkukuh representasi politik negeri itu di Dewan Rakyat, selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau juga mencadangkan satu kerusi Parlimen baharu diwujudkan bagi daerah Tambunan serta penstrukturan semula kawasan Parlimen Keningau bagi memastikan perkhidmatan wakil rakyat lebih efektif sampai ke kawasan pedalaman.
Kennedy berkata, cadangan itu perlu dipertimbangkan berdasarkan beberapa faktor kritikal termasuk pertambahan jumlah penduduk dan pengundi, keluasan kawasan yang melampaui batas kemampuan seorang wakil rakyat, cabaran geografi yang sukar diakses, keperluan pembangunan luar bandar yang tinggi, serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada pengundi.
"Tambunan ialah sebuah daerah yang besar dengan keperluan pembangunan yang banyak. Cadangan ini bukan semata-mata untuk menambah kerusi, tetapi memastikan rakyat di kawasan pedalaman mendapat representasi sewajarnya," katanya ketika membahaskan Usul 2 sempena Kongres UPKO 2026 pada 10 Ogos lalu.
Tegas beliau, penambahan kerusi Parlimen Sabah tidak seharusnya dilihat hanya dari sudut pertambahan angka, sebaliknya sebagai usaha strategik memastikan suara rakyat Sabah mempunyai kedudukan lebih kukuh dalam menentukan hala tuju negara.
Kennedy turut menekankan bahawa prinsip Sabah First perlu menjadi asas dalam sebarang kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya, dengan memberi kesaksamaan sepenuhnya kepada kepentingan rakyat Sabah.
Beliau mengulangi komitmen UPKO untuk terus memperjuangkan hak-hak Sabah di bawah MA63, termasuk tuntutan meningkatkan perwakilan Sabah dan Sarawak ke 35% daripada kerusi Parlimen, yang masih dalam peringkat rundingan.















Comments