Kecederaan Zara Qairina tidak mungkin akibat terjatuh secara tidak sengaja, ataupun ditolak - Dr Jessie
- nabalunews
- Sep 4
- 1 min read

3 September 2025
KOTA KINABALU: Kecederaan yang dialami Zara Qairina Mahathir tidak mungkin berpunca daripada terjatuh secara tidak sengaja atau ditolak dari kedudukan berdiri di lokasi kejadian.
Pakar Patologi Forensik, Dr Jessie Hiu berkata, kecederaan yang dialami juga adalah konsisten dengan jatuh dari tempat tinggi.
Katanya, rekonstruksi berdasarkan kecederaan menunjukkan si mati mendarat pada kaki kiri diikuti kaki kanan.
“Keadaan itu, menyebabkan kecederaan lebih teruk pada tumit dan tulang kaki kiri, iaitu patah berbilang tulang calcaneum kiri, patah berbilang dan serong pada tibia distal kiri.
“Selepas impak, beliau jatuh ke belakang, terutama pada bahagian kiri tubuh, menyebabkan kecederaan pada pergelangan tangan, lengan bawah, siku kiri dan belakang kepala,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan pada inkues kematian Zara Qairina di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Jessie berkata, daya hentakan pada anggota bawah menjalar ke atas, mengakibatkan patah pada vertebra lumbar keempat hingga kedua disertai hematoma otot Psoas dan hematoma terhad pada tisu pelvis retroperitoneum
Selain itu katanya, impak di belakang kepala menyebabkan pendarahan pada permukaan otak , iaitu pendarahan subdural dan subaraknoid si mati.
“Pendarahan ini membawa kepada pembengkakan otak dan seterusnya ensefalopati hipoksik iskemik atau kekurangan bekalan oksigen akibat pembengkakan otak dan kematian.
“Penemuan ini berdasarkan laporan CT Scan antemortem dan rekod perubatan. Semasa bedah siasat, otak menunjukkan pereputan cair yang lebih cepat berbanding organ lain akibat pembengkakan antemortem,” katanya.


















Comments