top of page

Keengganan PN bekerjasama dengan GRS memudahkan GRS melaksanakan urusan parti – Armizan

  • nabalunews
  • 3 days ago
  • 2 min read

13 Julai 2025


PENAMPANG: Keengganan Perikatan Nasional (PN) bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan memudahkan GRS melaksanakan urusan parti itu.


Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan, GRS berterima kasih kepada pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang telah mengeluarkan kemyataan itu.


“Ini kerana, pertama tanpa kita perlu jelaskan, beliau secara langsung memaparkan hakikat bahawa tidak pernah ada cadangan kerjasama di antara kedua-dua pihak.


Kedua, ini memudahkan kerja kita kerana, GRS tidak perlu membuat kenyataan menolak kerjasama dengan pihak-pihak tertentu, nanti kita nampak angkuh dan sombong. Biar orang lain bercakap, dan kita alu-alukan.


Ketiga, setakat ini urusan kita lebih mudah, tanpa kita minta, Barisan Nasional (BN) Sabah dan terkini PN telah menyatakan pendirian menolak GRS.


Yang penting kita jalan terus, yang penting adalah ikhtiar mendapatkan sokongan rakyat, bukannya mana-mana blok gabungan lain,” katanya mengulas kenyataan itu.


Muhyiddin pada Sabtu menyatakan bahawa PN enggan bekerjasama dengan GRS, yang didakwanya mengkhianati gabungan itu selepas membentuk kerajaan negeri tanpa PN.


Beliau berkata, PN sebaliknya terbuka untuk bekerjasama dengan parti lain menjelang pilihan raya negeri Sabah akan datang.


"Sangat sukar untuk bekerja dengan GRS kerana parti itu telah menafikan kami. Adakah anda mahu bekerja dengan mereka jika anda berada di kedudukan saya?" kata Muhyiddin, yang juga mendakwa bahawa nama GRS adalah idea beliau semasa awal pakatan itu.


Muhyiddin berkata, PN kini sedang meneliti semua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sebagai persediaan menghadapi pilihan raya negeri dan melahirkan keyakinan bahawa sokongan rakyat terhadap gabungan itu kekal kukuh — memetik jerayawara dan ketidakpuasan hati mereka terhadap kerajaan Sabah berhubung isu infrastruktur, kos sara hidup dan rasuah.


"Satu fakta ialah rakyat mengingati keikhlasan kami menguruskan negara semasa Covid-19, bantuan yang kami berikan, usaha kami menyelamatkan banyak nyawa. Mereka masih ingat sumbangan saya dan masih memanggil saya 'Abah'," katanya.


Armizan berkata, beliau tidak berhasrat mengulas lanjut berhubung kenyataan pengerusi PN itu, “dalam politik, saya dididik untuk mengelakkan bercakap berkaitan individu. Apatah lagi bila menyentuh seorang mantan Perdana Menteri yang amat dihormati.


“Namun, saya fikir kita perlu melihat nilai dan makna di setiap apa yang berlaku. Kita dapat dengar dalam ucapan mereka menyebut kita angkat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menjadi wakil rakyat, kita pilih beloau menjadi Ketua Menteri.


“Ke depan, inilah yang perlu kita rintis perubahan dalam politik Sabah,” katanya.


Armizan menegaskan, berada dalam gabungan dan parti nasional, pasti akan ada sentimen sebegitu. Ini kerana, untuk menjadi calon pilihan raya, pilihan dan watikah akan dikeluarkan oleh pimpinan dari Semenanjung Malaysia.


“Calon Ketua Menteri pula adalah daripada ketua pimpinan di negeri Sabah, yang dilantik oleh juga pimpinan dari Semenanjung Malaysia.


Maka, siapa juga dipilih akan dituntut untuk setia dan patuh kepada pimpinan utama parti di sana,” katanya.


Katanya, berbeza dengan parti lokal, calon-calon diputuskan dan watikah dikeluarkan oleh ketua parti lokal sendiri, dan Ketua Menteri adalah kalangan ketua parti-parti lokal yang dipilih oleh orang Sabah sendiri.


“Ke depan, sudah tiba masa kita hantar isyarat, bahawa the master is not there, the master is here, the ultimate master is the rakyat of Sabah. Kenapa saya guna perkataan “master”? nanti kita cerita kemudian,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page