Ppm Gagalkan Cubaan Warga Asing Seludup Barang Kawalan
- nabalunews
- Jul 16, 2025
- 1 min read

16 Julai 2025
SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) Sabah berjaya memintas dua bot laju yang dikesan membawa barang kawalan dalam operasi di perairan laut Pulau Boheian, di sini, awal pagi semalam.
Dalam operasi jam 1.10 pagi itu, kedua-dua bot dinaiki empat individu terbabit didapati membawa minyak masak dan minyak petrol bersubsidi dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, kedua-dua bot berkenaan dikesan bot ronda PPM Semporna yang sedang melaksanakan rondaan keselamatan khususnya di kawasan hot spot.

Katanya, tindakan semua suspek bergerak pada waktu malam dipercayai bagi mengaburi pihak berkuasa namun ia berjaya dihidu pihak berkuasa.
“Sebaik ditahan, pasukan operasi berjaya merampas 680 kilogram minyak masak paket bersama 2,005 liter minyak petrol bersubsidi.
“Pasukan operasi terus menahan empat warga asing berusia dalam lingkungan 16 tahun hingga 38 tahun untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, semua ditahan bagi membantu siasatan selepas disyaki cuba menyeleweng barang kawalan.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan anggaran nilai keseluruhan rampasan termasuk aset yang dirampas berjumlah RM 79,260,” katanya.
Sehubungan itu, Nazri berkata, pihaknya akan terus meningkatkan aktiviti rondaan keselamatan bagi tujuan mencegah dan mengekang aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang seperti pencerobohan pendatang asing tanpa izin, penyeludupan, dan jenayah maritim lain.
“PPM Wilayah 4 Sabah akan terus komited dalam membanteras jenayah penyeludupan demi keselamatan dan kesejahteraan negara,” katanya.















Comments