top of page

Kerjasama erat Sarawak dan Sabah jayakan perdagangan wilayah

  • nabalunews
  • 1 day ago
  • 2 min read

26 Jun 2026


KUCHING: Timbalan Ketua Menteri III Sabah Datuk Ewon Benedick berkata, kerjasama lebih erat antara Sabah dan Sarawak akan menjadi pemangkin kepada agenda pembangunan perindustrian, keusahawanan serta perdagangan di wilayah Borneo.


Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata kedua-dua negeri saling memerlukan dan perlu memperkukuh kerjasama dalam pelbagai aspek termasuk perhubungan pengangkutan, bekalan utiliti, pelabuhan serta penyelarasan di kawasan sempadan bagi memastikan pembangunan ekonomi wilayah dapat dipacu dengan lebih berkesan.



“Kita membincangkan keperluan kerjasama yang lebih erat antara Sarawak dan Sabah, terutama dalam perkara yang melibatkan kedua-dua pihak seperti road connectivity, utility connectivity, port connectivity dan banyak lagi termasuk pembangunan perindustrian.


“Sabah memerlukan Sarawak dan Sarawak juga memerlukan Sabah untuk memastikan wilayah Borneo ini dapat membangun dengan lebih baik melalui kerjasama yang lebih erat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan, di sini, hari ini.



Ewon berkata, hasil pertemuan itu, kedua-dua pihak turut mencapai persetujuan untuk memformalkan kerjasama berkenaan dengan memulakan koordinasi di peringkat pegawai kanan antara Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Sabah dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRADE) Sarawak.


“Kita bersetuju untuk memformalkan kerjasama ini dan ia akan dimulakan di peringkat pegawai kanan kementerian di Sarawak dan juga kementerian kita di Sabah.



“Saya mengucapkan terima kasih kepada Datuk Amar Awang Tengah atas pertemuan ini dan saya menantikan mesyuarat seterusnya serta kerjasama yang lebih erat selepas ini,” katanya.


Mengulas lanjut, beliau berkata pembangunan perindustrian di kedua-dua negeri mempunyai hubungan yang saling melengkapi, sekali gus memerlukan penyelarasan yang lebih tersusun bagi mengoptimumkan potensi ekonomi masing-masing.


Katanya lagi, industri hiliran berasaskan kelapa sawit di Sarawak, sebagai contoh, memerlukan bekalan bahan mentah daripada Sabah, manakala pembangunan industri di Sabah pula memerlukan bekalan utiliti dari Sarawak.


“Begitu juga dengan soal penyelarasan di kawasan sempadan. Ada sebahagian bahan binaan dari utara Sarawak yang perlu melalui Pelabuhan Sepanggar di Sabah.


“Ini antara perkara yang kita bincangkan dan ia sememangnya memerlukan satu kerjasama yang lebih formal antara kedua-dua kerajaan negeri,” katanya.


Ewon berkata, selain aspek pembangunan perindustrian, kerjasama yang lebih rapat turut diperlukan dalam memperkukuh hubungan pengangkutan darat, laut dan udara serta penyelarasan berkaitan perundangan sempadan bagi memudahkan pergerakan barangan dan meningkatkan perdagangan rentas sempadan.


Beliau berkata, kunjungan itu merupakan lawatan rasmi pertamanya ke Sarawak selepas kembali menyertai Kerajaan Sabah dan yakin hubungan yang lebih kukuh antara kedua-dua negeri akan memberi manfaat besar kepada pembangunan wilayah Borneo.


“Saya yakin hubungan erat seperti ini antara Sarawak dan Sabah akan dapat menjayakan agenda perdagangan di wilayah ini,” katanya.


Dalam perkembangan sama, Ewon turut mengesahkan kehadirannya ke Borneo International Halal Showcase (BIHAS) 2026 anjuran Kerajaan Sarawak pada Julai ini, selain menyampaikan jemputan rasmi kepada Awang Tengah untuk menghadiri Sabah International Expo (SIE) 2026 anjuran Kerajaan Sabah yang dijadual berlangsung pada September depan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page