UPKO Sertai GRS Perkukuh Suara Parti Tempatan Sabah
- nabalunews
- 1 day ago
- 1 min read

KOTA KINABALU, 26 Jun – Keputusan Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) disifatkan sebagai langkah memperkukuh kerjasama sesama parti tempatan bagi memastikan suara Sabah lebih bersatu, kuat dan berpengaruh dalam menentukan hala tuju negeri.
Ketua Pemuda UPKO Bahagian Tuaran, Rayner Rino Ebi berkata, penyertaan parti itu ke dalam GRS selaras dengan aspirasi rakyat Sabah yang mahukan parti tempatan memainkan peranan lebih besar dalam memperjuangkan kepentingan negeri.
Beliau berkata, pihaknya mengambil maklum pelbagai pandangan yang tular berhubung keputusan tersebut dan menghormati hak rakyat untuk bertanya, mengkritik serta menilai dalam sebuah sistem demokrasi yang matang.
“Namun ada satu hakikat yang perlu kita akui bersama, iaitu rakyat Sabah mahukan parti tempatan. Parti yang lahir dari bumi Sabah, yang memahami jiwa Sabah dan yang berjuang untuk Sabah.
“Hakikatnya, UPKO sendiri adalah sebuah parti tempatan Sabah, manakala GRS merupakan gabungan yang menghimpunkan parti-parti tempatan Sabah.
“Jika aspirasi rakyat hari ini adalah untuk melihat parti-parti tempatan memainkan peranan yang lebih besar dalam menentukan hala tuju negeri, maka semangat itulah yang tercermin dalam kewujudan dan peranan GRS,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, pendekatan itu turut mencerminkan model politik yang diamalkan di Sarawak menerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), iaitu gabungan parti-parti tempatan yang bekerjasama memperjuangkan kepentingan negeri.
Sehubungan itu, katanya, penyertaan UPKO dalam GRS merupakan satu usaha memperkukuhkan kerjasama dalam kalangan parti tempatan demi memastikan suara Sabah terus diperkasakan dan mempunyai pengaruh yang lebih besar.
Beliau berkata, sejarah telah membuktikan bahawa perpecahan hanya akan melemahkan kedudukan Sabah, manakala masa depan negeri itu perlu dibina berasaskan perpaduan dalam kalangan parti-parti tempatan yang berkongsi matlamat sama.
“Sabahan harus satu hati,” katanya.















Comments