top of page

Rowindy Menang Tanpa Tanding, Wanita Pertama Terajui UPKO Kimanis

  • nabalunews
  • 3 hours ago
  • 2 min read

MEMBAKUT: Tokoh wanita UPKO, Rowindy Lawrence Odong, mencipta sejarah apabila dipilih dan menang tanpa bertanding sebagai Ketua Bahagian Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Kimanis bagi sesi 2026-2029, sekali gus menjadi wanita pertama menerajui bahagian tersebut sejak penubuhannya.


Kemenangan itu mencerminkan keyakinan serta sokongan padu ahli-ahli parti terhadap kepimpinan beliau untuk meneruskan agenda perjuangan UPKO di Parlimen Kimanis. Pemilihan tersebut berlangsung sempena Mesyuarat Agung Tritahunan UPKO Kimanis yang diadakan di Dewan Ridhuan Homestay, Membakut dan dihadiri oleh para perwakilan serta ahli-ahli parti dari seluruh kawasan Kimanis.



Rowindy yang aktif dalam arena politik Sabah sejak sekian lama bukanlah nama asing dalam UPKO. Beliau pernah memegang pelbagai jawatan penting dalam parti, antaranya Timbalan Ketua Penerangan UPKO Pusat, Timbalan Setiausaha Penganjur UPKO Pusat, Ketua Wanita UPKO Kota Kinabalu, Setiausaha Exco Wanita UPKO serta Pengerusi Biro Hubungan Antarabangsa UPKO Malaysia. Pengalaman luas yang dimiliki membuktikan komitmen berterusan beliau dalam memperjuangkan agenda pembangunan masyarakat serta memperkasakan peranan wanita dalam politik dan kepimpinan.


Mesyuarat Agung telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Senator Datuk Nelson angang. Antara jawatan lain adalah Chelsiea Japanis dipilih sebagai ketua wanita, Horris Sintoh dipilih sebagai ketua Pemuda dan Lyendrey Jouraine Ketua Generasi Muda bagi UPKO Bahagian Kimanis itu.



Dalam reaksinya, Rowindy merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh ahli UPKO Kimanis atas kepercayaan yang diberikan. Beliau menyifatkan pemilihannya sebagai satu amanah besar yang perlu digalas dengan penuh tanggungjawab demi memperkukuh perjuangan parti dan membela kepentingan rakyat.


Beliau turut menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh jentera parti serta menjadi tulang belakang kepada kerajaan dalam memastikan suara rakyat di seluruh Parlimen Kimanis sentiasa didengari dan diperjuangkan. Menurut beliau, tumpuan akan diberikan kepada kedua-dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Membakut dan Bongawan, melalui pendekatan yang inklusif, progresif dan berteraskan keperluan rakyat. Beliau turut menyatakan kesediaan untuk bekerjasama rapat dengan wakil-wakil rakyat kerajaan sedia ada demi memperkukuh usaha pembangunan dan kebajikan masyarakat di kawasan tersebut.


Dalam ucapan sulungnya sebagai Ketua Bahagian, Rowindy turut menyeru ahli-ahli parti agar terus menyokong kerajaan sambil memainkan peranan sebagai semak dan imbang yang konstruktif demi menjaga kepentingan rakyat. Beliau berkata, fokus utama kepimpinan baharu adalah untuk memperkasakan keahlian parti, memperluaskan program pembangunan masyarakat yang memberi manfaat kepada rakyat serta memastikan perjuangan parti terus bergerak seiring dengan 17 teras perjuangan UPKO.


Pemilihan tanpa pertandingan itu dilihat sebagai petanda positif kepada kestabilan, kematangan politik dan kesatuan dalam UPKO Kimanis. Ia sekali gus memperkukuhkan kedudukan bahagian tersebut dalam mendepani cabaran politik semasa serta meneruskan agenda pembangunan demi kesejahteraan rakyat di Parlimen Kimanis.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page