Kelonggaran SOP penerima vaksin lengkap bukan masa sesuai?Kelonggaran SOP penerima vaksin lengkap bukan masa sesuai?
top of page
  • Writer's pictureMarryan Razan

Kelonggaran SOP penerima vaksin lengkap bukan masa sesuai?


Gambar Hiasan

11 Ogos 2021

Oleh Marryan Razan


KOTA KINABALU: Kelonggaran Prosedur operasi standard (SOP) yang diberikan kepada penerima lengkap dua dos vaksin Covid-19 melegakan rakyat negara ini namun pada masa yang sama ia membimbangkan memandangkan laporan harian kes baharu di seluruh negara ketika ini masih amat tinggi.


Ramai berpendapat sekarang bukan masa sesuai untuk memberikan kelonggaran sebaliknya mereka mahu SOP lebih ketat untuk mengurangkan pergerakan manusia seterusnya membendung penularan jangkitan.


Mereka juga menyarankan agar kerajaan mengkaji semula kelonggaran yang diberikan kepada para penerima vaksin lengkap kerana individu yang telah lengkap dua dos vaksin masih berisiko dijangkiti Covid-19 dan akan merisikokan ahli keluarga dan orang lain yang belum menerima vaksin atau kanak-kanak yang tidak layak menerima vaksin.

Emily Petrus dari Kota Kinabalu yang telah lengkap dua dos vaksin berharap kerjaaan dapat meneliti semula kelonggaran yang diberikan memandangkan ketika ini kes baharu positif Covid-19 masih tinggi.


“Saya tidak setuju dengan kelonggaran yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini … kalau bagi kelonggaran pun, tunggu sehingga kes ada penurunan dan bukannya mengumumkan pada masa ini di mana kes masih ditahap amat membimbangkan.


“Jumlah kes harian di Sabah pun masih tinggi melebihi 1,000 kes sehari dan menurut laporan harian Covid-19 di Sabah hari ini, kesemua daerah di Sabah kini dalam zon merah.


“Bagi pendapat saya, tidak ada keperluan memberi kelonggaran pada masa ini, sebaliknya kerajaan harus memperketatkan SOP sedia ada.


“Mungkin bagi penerima vaksin lengkap, kesan Covid sekiranya mereka dijangkiti tidak memberi kesan teruk tetapi bagaimana dengan mereka yang belum menerima atau tidak layak divaksin? Mereka juga harus memikirkan orang lain,” katanya.


Sementara itu Addiq Jane berpendapat, keputusan kerajaan memberi kelonggaran kepada para penerima suntikan dua dos vaksin pada masa ini amat tidak rasional.


“Dalam keadaan negara ketika ini yang masih mencatatkan peningkatan kes baharu setiap hari… tidak sepatutnya memberi kelonggaran walaupun mereka lengkap dua dos vaksin,” katanya.


Rakannya Marianna Sham turut bersetuju dengan pendapat Addiq dan berkata, dengan peningkatan kes termasuk penularan varian delta dan jangkitan Covid yang kini dalam komuniti, kelonggaran itu umpama sengaja ‘mencari nahas’.


Katanya lagi, kelonggaran kepada warga asing masuk ke negara ini juga perlu dikaji semula bagi mengelak kemasukan varian Lambda Covid-19 yang dilaporkan lebih berbahaya.


“Oleh itu kerajaan harus lebih berhati-hati melonggarkan syarat bagi pengunjung luar negara masuk ke negara ini,” katanya.


Menurut pangkalan data Global Initiative on Sharing All Influenza Data (GISAID), varian Lambda telah dilaporkan tersebar di 26 negara di seluruh dunia.


Dalam kertas saintifik baharu yang diterbitkan 28 Julai lalu, para penyelidik di Universiti Tokyo Jepun telah memberi amaran bahawa varian Lambda Covid-19 mungkin lebih tahan terhadap vaksin dan sangat berjangkit berbanding varian sedia ada.


Sementara itu Kimsoi Lodunis menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan berharap semua yang telah menerima vaksin lengkap memanfaatkan kelonggaran itu sebaiknya dengan mematuhi SOP.


“Bagi saya, kelonggaran ini bagus, ada peluang untuk balik dan rentas negeri pulang ke rumah suami dan boleh balik kampung melawat keluarga sebab ada kelonggaran untuk rentas daerah tetapi kena jaga SOP, jangan lalai,” katanya.


Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq SYED Abdul Rahman berkata, strategi kerajaan harus serius untuk melawan Covid-19.


Dalam perkongsian melalui Facebooknya, beliau berkata, Perdana Menteri sepatutnya fokus dan membuat pengumuman untuk membantu hospital dan petugas kesihatan.


Laporan Berita Harian pada 8 Ogos lalu, pakar kesihatan menyarankan agar penerima lengkap vaksin kekal berhati-hati dan hanya melaksanakan kelonggaran yang diberikan sekiranya perlu bagi mengurangkan risiko dijangkiti atau menularkan jangkitan kepada orang lain.


Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh dipetik sebagai berkata, penerima vaksin tetap perlu patuh SOP seperti memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal ketika melakukan aktiviti yang dibenarkan.


Katanya, masih terdapat kebimbangan terhadap keberkesanan vaksin terhadap mutasi virus SARS-CoV-2, khususnya varian Delta, walaupun risiko penerima vaksin lengkap dimasukkan ke hospital adalah rendah jika dijangkiti.


“Walaupun sudah lengkap divaksin, kita tidak boleh terlalu gembira dan tetap perlu menjaga SOP kerana masih ada banyak varian seperti Delta, selain risiko menularkan jangkitan kepada individu tidak divaksin.


“Secara umumnya vaksin mampu melindungi kita daripada menjadi parah bila dijangkiti Covid-19, namun tahap keberkesanan sebenar terhadap varian Delta yang sedang menular di Malaysia dan seluruh dunia, masih tidak diketahui,” katanya.


Pada hari ini (11 Ogos) jumlah kes baharu positif Covid-19 seluruh negara sebanyak 20,780 kes dan 211 kes kematian dilaporkan (10 Ogos) sebanyak 19,991 kes baharu dilaporkan di seluruh negara dan 201 kes kematian.


Pada 9 Ogos (17,236 kes baharu, 212 kes kematian), 8 Ogos (18,688 kes baharu, 360 kes kematian), 7 Ogos (19,257 kes baharu dan 210 kes kematian), 6 Ogos (20,889 kes baharu, 160 kes kematian).


Setakat 9 Ogos sejumlah 15,959,596 orang terima dos pertama vaksin di seluruh negara dan daripada jumlah itu 9,048,634 rakyat di negara ini lengkap dua dos vaksin Covid-19.


Perdana Menteri dalam Perutusan Khas pada 8 Ogos lalu mengumumkan kemudahan-kemudahan bagi individu yang telah menerima vaksinasi lengkap berkuatkuasa 10 Ogos ini (Selasa)


Antara perincian pengumuman tersebut ialah pengembara warganegara Malaysia dan bukan warganegara Malaysia yang lengkap vaksinasi yang pulang atau tiba dari luar negara dibenarkan menjalani kuarantin di rumah.


Rentas daerah / negeri untuk ibu bapa jumpa anak bawah umur 18 tahun dan bagi pasangan suami isteri jarak jauh.


Aktiviti solat dibenarkan di masjid atau surau bagi jemaah yang telah menerima vaksin lengkap.


Kemudahan ini juga diberikan kepada penganut bukan Islam untuk menghadiri rumah-rumah ibadah.


Kerajaan juga bersetuju memberikan kemudahan-kemudahan bagi sektor sosial kepada individu yang telah menerima vaksinasi lengkap dan menetap di negeri-negeri dalam Fasa 2 dan seterusnya.

bottom of page