• Wartawan Nabalu News

Kenaikan kos bahan binaan bebankan kontraktor PKS


4 Disember 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kos bahan binaan yang naik mendadak sejak akhir-akhir ini telah menimbulkan pelbagai kerisauan terutama di kalangan kontraktor Perusaha Kecil dan Sederhana (PKS).


Berdasarkan tinjauan Nabalu News di beberapa daerah, didapati bahawa bahan-bahan binaan sememangnya mengalami kenaikan harga.


Ekoran kenaikan harga bahan binaan, ramai kontraktor PKS mengeluh kerana mereka terpaksa menanggung kos bahan yang tinggi.


Menurut seorang kontraktor tempatan, Mohd Azizan, 42, kenaikan harga bahan binaan seperti besi sangat membebankan kontraktor PKS seperti dirinya.


“Kenaikan ini memang membebankan kepada pengguna terutamanya kami kontraktor kecil-kecilan. Kalau dulu, harga bahan binaan boleh diterima lagi tapi sekarang memang melonjak naik.

“Kami terpaksa kira semula bajet asal dan tambah bajet sebab kos bahan meningkat. Jika tidak berbuat demikian, bahan-bahan tidak dapat dibeli dan ini akan melewatkan penyiapan projek sedia ada,” katanya ketika ditemui wartawan Nabalu News.


Katanya lagi, kenaikan harga binaan seperti simen dan batu pasir masih boleh diterima kerana kenaikannya tidak begitu menjejaskan kos pembelian namun harga besi yang melonjak naik sehingga dua kali ganda itu sesuatu yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan.


“Harga bahan binaan seperti simen dan batu pasir ini ada meningkat sebanyak 10 peratus berbanding dahulu, bergantung kepada kedai yang menjual. Kalau dulu, simen dijual pada harga RM18 satu karung tetapi kini meningkat naik kepada RM20 hingga RM22.


“Bagi saya, kenaikan ini masih boleh diterima tetapi kenaikan harga besi yang tidak masuk akal. Sebagai contoh, besi jenis Y10 biasanya boleh dibeli dengan harga RM2,000 lebih, namun sekarang harganya sudah naik ke RM4,000 iaitu peningkatan dua kali ganda!


“Ianya begitu mencekik darah sebab besi Y10 ini satu bahan penting dalam pembinaan rumah dan dengan harga yang begitu tinggi, kami kontraktor kecil terpaksa menanggung kos bahan binaan yang tinggi,” jelas kontraktor itu.


Azizan yang sudah lebih 10 tahun bekerja sebagai kontraktor PKS berharap agar kerajaan dapat mengambil tindakan sepatutnya bagi mengawal peningkatan harga binaan ini.

“Setakat ini, saya belum nampak lagi usaha-usaha dari kerajaan untuk menangani kenaikan harga kos binaan ini.


“Saya berharap agar pihak kerajaan dan penguatkuasa dapat membuat pemantauan dari semasa ke semasa supaya tidak ada pihak yang mengambil kesempatan terhadap kenaikan harga bahan binaan ini,” katanya.


Seorang lagi kontraktor PKS, Stanley Musa, 39 berpendapat bahawa kenaikan harga bahan binaan ini tidak sepatutnya naik sehingga 13 peratus kerana harga bahan binaan sudah pun mengalami kenaikan pada tahun lepas.


“Kesan kepada kontraktor kecil serta PKS memang besar kerana keuntungan maksima yang diperolehi mungkin hanya dalam 15 hingga 20 peratus dari nilai kerja.


“Sekiranya peningkatan harga bahan binaan ini tidak dikawal, pastinya ianya akan memberi impak kepada industri pembinaan khususnya dan ini sekaligus memberi kesan kepada pembeli atau pengguna barang akhir yang mana mereka terpaksa membayar lebih,” jelasnya.


Menurutnya, kenaikan harga bahan binaan ini perlu dipantau dan dikawal secara telus oleh kerajaan, sambil mencadangkan agar subsidi diberikan kepada pengilang bahan binaan sehingga ekonomi pulih seperti sedia kala.


“Kita faham tentang hal pandemik ini tetapi kerajaan juga perlu memikirkan keadaan pengguna dan pengusaha yang mengalami kerugian dan kekurangan pendapatan sejak berlakunya pandemik,” keluh Stanley.

Kenvy

Kenvy Wong, yang sudah lebih 20 tahun dalam industri pembinaan berkata usaha kerajaan untuk mengawal harga bahan binaan setakat ini tidak begitu memuaskan.


“Bagi saya, usaha kerajaan untuk menangani isu ini kurang memuaskan. Kerajaan sepatutnya menetapkan harga siling bagi setiap bahan binaan, melaksanakan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap harga bahan binaan secara menyeluruh.


“Kenaikan harga bahan binaan ini akan menjejaskan industri pembinaan sekiranya tindakan sewajarnya tidak diambil secepat mungkin.


“Pastinya, kos yang ditanggung dalam pembinaan akan memberi kesan secara langsung kepada harga hartanah (rumah), tidak terkecuali juga kepada perdagangan serta kos operasi bagi kilang pembinaan dan bahan," katanya.

Tambahnya lagi, pengguna akhir juga seharusnya diberikan platform yang telus bagi memudahkan mereka untuk membuat aduan mengenai kenaikan harga yang tidak masuk akal.


Menurut seorang lagi kontraktor dari Kota Belud yang hanya ingin dikenali sebagai Jon, salah satu faktor utama yang menyumbang kepada kenaikan harga bahan binaan adalah disebabkan oleh kekurangan bahan.


“Beberapa negara pembekal bahan binaan tidak dapat menghantar produk mereka kerana polisi yang ketat dalam memerangi Covid-19.


“Namun, daripada menggunakan ini sebagai alasan mengapa harga barang-barang mentah naik, kerajaan seharusnya merancang strategi yang berkesan untuk membantu rakyat yang terbeban akibat kenaikan harga barang.


“Kami kontraktor PKS telah menghadapi masa yang begitu mencabar sepanjnag tempoh perintah kawalan berkurung,” ujarnya.


Tambahnya, perang perdagangan di antara negara Amerika Syarikat dan China juga memberi kesan besar terhadap harga bahan binaan di seluruh dunia.


Jon berkata, sekiranya harga bahan binaan akan terus meningkat, kontraktor PKS akan mengalami lebih banyak kerugian dan mungkin tidak dapat menyiapkan projek mereka.

Andrew

Sementara itu, Andrew Joseph, 59, berkata kenaikan harga binaan bukan sahaja akan membebankan individu dalam industri pembinaan, tetapi juga akan menjadi satu kerisauan yang besar di kalangan belia.


Jelasnya, ini kerana harga rumah akan menjadi semakin mahal dan agak sukar bagi belia yang ingin memiliki rumah pertama memandangkan gaji minimum masih statik.


“Harga rumah di Sabah sekarang ini pun sudah mencekik darah, apa lagi pada masa akan datang nanti? Tentu sekali harga rumah akan naik melambung dengan kenaikan harga bahan binaan.


“Kerajaan sepatutnya tangani masalah ini dengan lebih efisyen dan bukan membiarkan rakyat menderita. Sekurang-kurangnya, kawal kenaikan kos kehidupan dan tingkatkan gaji minimum,” kata kontraktor kecil yang berasal dari Penampang itu.


Tinjauan Nabalu News mendapati antara bahan binaan yang mendadak naik harganya adalah simen di mana ianya dulu dijual pada kadar RM18 sekarung (50 kg) tetapi sekarang telah naik ke RM21 hingga RM22.


Manakala, bagi paip PVC, dulu ianya dijual pada sekitar RM8, dan kini ianya telah meningkat ker RM10. Bagi besi BRC berukuran 6x12 pula, dulu ianya di jual sekitar RM80 tetapi kini ianya telah mencapai RM100.