Kerajaan bentuk jawatankuasa khas tangani isu buli
- nabalunews
- Aug 29, 2025
- 2 min read

29 Ogos 2025
PUTRAJAYA: Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bersetuju membentuk jawatankuasa khas bagi menangani isu buli di negara ini.
Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, jawatankuasa melibatkan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi itu akan dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
“Jawatankuasa khas ini akan mengumpulkan pelbagai kementerian, agensi untuk menyelaras beberapa perkara selepas kita buat beberapa pindaan termasuk kepada Akta Komunikasi dan Multimedia, termasuk kepada Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pasca Mesyuarat Jemaah Menteri di sini, hari ini.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, mesyuarat pertama jawatankuasa yang dijadual berlangsung pada 2 September depan akan turut membincangkan cadangan membentuk sebuah tribunal antibuli.
Selain itu katanya, mesyuarat tersebut juga dijangka membincangkan mengenai penyelarasan prosedur operasi standard (SOP) termasuk di asrama susulan pindaan beberapa akta berkaitan.
“Sebelum ini kita ada dimaklumkan mengenai usaha pihak Kementerian Pendidikan (KPM) untuk meneliti semula SOP dan pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang menguruskan MRSM juga ada hasrat sama.
“Jadi melalui jawatankuasa khas ini semua kementerian agensi jabatan akan diselaraskan kerana pindaan berkaitan Kanun Keseksaan Seksyen baru (507C hingga 507G) untuk menangani ini telah mula diguna pakai bermula Julai 2025,” katanya.
Jelasnya, wakil daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) akan turut bersama sebagai ahli dalam jawatankuasa yang merentas kementerian termasuk Kementerian Komunikasi bagi melihat aspek buli siber.
Menjawab soalan media sama ada kerajaan akan melaksanakan pendekatan yang diguna pakai MARA dengan menempatkan bekas tentera sebagai warden di setiap asrama sekolah, Fahmi berkata perkara itu diserahkan sepenuhnya kepada jawatankuasa itu untuk diteliti.
“Kita akan serahkan kepada jawatankuasa itu untuk teliti nanti, tapi apa yang diusahakan itu saya lihat tiada masalah. Kita harap ada satu kesan yang positif,” katanya.















Comments