Kerajaan jalin kerjasama syarikat pelaburan majukan sektor pertanian di Sabah

22 Sept 2021
Oleh Marryan Razan
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah mengadakan beberapa usahasama dengan syarikat pelaburan dalam dan luar negara bagi memajukan sektor pertanian di negeri ini.
Menterinya Datuk Dr. Jeffrey Kitingan berkata, antara kerjasama yang telah diwujudkan setakat ini adalah Memorandum of Understanding (MoU) di antara Kerajaan Negeri dengan Syarikat Linaco Resouces Sdn. Bhd. (Linaco) untuk pembangunan industri kelapa di Sabah.
Beliau berkata, Linaco adalah syarikat tempatan Malaysia yang telah berkecimpung dalam industri kelapa sejak tahun 1992.
“Usahasama ini melibatkan pelaburan bernilai RM400 juta apabila beroperasi sepenuhnya,” katanya pada sesi soal jawab persidangan dewan undangan negeri, di Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Adun Dilantik Suhaimi Hj. Nasir yang bertanya adakah pihak Kementerian mempunyai perancangan di masa hadapan untuk mengadakan usaha sama dengan syarikat-syarikat swasta dari dalam dan luar negara untuk mengembangkan sektor ini.
Dr. Jeffrey berkata, kerajaan negeri juga melaksanakan MoU di antara Syarikat Malaysian Kuwaiti Investment Co. Sdn. Bhd. (MKIC) dengan Jabatan Pertanian pada 7 April 2021.
“MoU ini melibatkan pembekalan polen dan benih kelapa Tagnanan kepada MKIC sementara MKIC membangunkan ladang benih (seed garden) di samping ladang kelapa seluas 1,000 ha yang terletak di daerah Tawau.
“Nilai pelaburan bagi projek ini dianggarkan sebanyak RM20.0 Juta bagi tempoh 5 tahun,” katanya.
Katanya lagi, kerajaan negeri turut melaksanakan MoU di antara Syarikat Agriculture Chemicals Malaysia (M) Sdn. Bhd. (ACM) dengan Jabatan Pertanian Sabah pada 7 April 2021 bagi penerapan teknologi ke arah peningkatan hasil padi di Sabah.
Katanya, projek itu melibatkan khidmat teknikal penggunaan dron dan kalibrasi penyemburan racun dan baja.
MoU di antara Borneo Eco Agriculture Sdn Bd. (BEA) dan China Academy of Inspection & Quarantine Intelligent Technology (CAIQ-IT) untuk memodenkan industri perikanan dan pertanian negeri Sabah.
“MOU telah ditandatangani pada 27 April 2021. Nilai pelaburan bagi usahasama ini adalah RM200,000,” katanya.
Dr. Jeffrey berkata, antara program yang telah dilaksanakan adalah Program Pembangunan Industri Pembenihan Akuakultur Marin bertujuan untuk mengembangkan dan mengukuhkan industri Akuakultur Marin di Sabah.
Katanya, objektif program ini adalah untuk menggalakkan lebih ramai pengusaha swasta berkecimpung dalam industri ternakan akuakultur marin di Sabah.
“Program ini melibatkan kerjasama dan penyelidikan bersama dengan institusi kerajaan dan swasta dalam dan luar negara dalam aspek teknologi dan pembenihan akuakultur marin.
“Sehingga kini, terdapat 10 syarikat pengusaha swasta dan institusi telah mendapat manfaat langsung dan tidak langsung dari program ini.
“Kementerian saya melalui Korporasi Pembangunan Desa (KPD) akan bekerjasama melalui syarikat KPD Green Drone Fruit Sdn. Bhd. untuk membina sebuah Pusat Pemprosesan Hasil Pertanian di Pusat Pengeluaran Buah-buahan di Lingkungan, Beaufort.
“Pusat pemprosesan ini dijangka akan memberi manfaat kepada pengusaha buah-buahan khususnya di Beaufort dan negeri Sabah secara umumnya.
“Produk hiliran yang terhasil akan membantu meningkatkan ekonomi negeri Sabah dan menjana peluang-peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. Nilai pelaburan syarikat usahasama tersebut adalah berjumlah RM6.0 Juta.
Comments