Kerajaan Negeri Komited Teruskan Kerjasama Dengan Kerajaan Pusat - Hajiji
- nabalunews
- 19 minutes ago
- 1 min read

13 Januari 2026
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengulangi komitmen kerajaan negeri untuk meneruskan kerjasama rapat dengan kerajaan Persekutuan.
Katanya, kerjasama itu penting bagi memastikan pelaksanaan dasar dan inisiatif pembangunan di negeri ini dibuat dengan berkesan dan menyeluruh.
"Kerajaan negeri komited untuk terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan demi memastikan pelaksanaan dasar serta inisiatif pembangunan dapat dilaksanakan secara berkesan dan menyeluruh untuk kepentingan rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud di pejabatnya di Menara Kinabalu pada Selasa.
Ia adalah kunjungan rasmi pertama Mustapha setelah dilantik ke jawatan itu pada 16 Disember 2025. Beliau sebelum ini adalah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi.
Turut hadir ialah Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Grace Lee Li Mei.














