Kerajaan Negeri Rombak Kepimpinan GLC Sabah
- nabalunews
- 7 hours ago
- 1 min read

7 Disember 2025
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah akan melaksanakan penstrukturan semula secara menyeluruh terhadap syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri termasuk pelantikan pengerusi serta ahli lembaga pengarah.
Ia adalah sebahagian daripada usaha memperkukuh tadbir urus korporat dan akauntabiliti.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, langkah berkenaan merupakan keperluan pentadbiran bagi memastikan GLC negeri dipacu oleh kepimpinan yang kompeten, berintegriti dan berkeupayaan tinggi.
Katanya, ia bagi meningkatkan prestasi serta menyumbang secara berkesan kepada agenda pembangunan Sabah.
“Penstrukturan semula itu juga bertujuan menyuntik kepimpinan baharu bagi memacu pencapaian matlamat Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 secara lebih menyeluruh dan mampan.
“Matlamat kita adalah menjadikan GLC sebagai pemangkin ekonomi yang berkesan dan boleh dipercayai melalui pengurusan yang kompeten, demi menjana nilai yang lebih besar kepada rakyat dan negeri,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Disamping itu, Hajiji turut menekankan kepentingan pasukan kepimpinan yang dinamik, profesional serta berorientasikan hasil bagi menghadapi era baharu pembangunan yang dipacu oleh pelaburan strategik, pendigitalan, tenaga baharu dan pembangunan sosial.
Menurutnya, Kerajaan Negeri menghargai sumbangan kepimpinan terdahulu, namun rombakan perlu dilakukan bagi memastikan transformasi yang berkesan serta kesinambungan hala tuju GLC selaras dengan keperluan semasa.
“Keutamaan kita adalah untuk memastikan masa depan Sabah yang stabil, makmur dan terjamin, seiring dengan aspirasi SMJ 2.0,” katanya.


















Comments