top of page

Kerajaan Persekutuan terus jamin hak beragama – Ewon

  • Wartawan Nabalu News
  • 2 days ago
  • 1 min read

Ewon bersama Rev.Thenny Megat Ali, Setiausaha Agung Merangkap Ketua Jabatan Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia SIB Sabah menandatangani plak sebagai simbolik perasmian Hari Ulang Tahun Ke-60 BTS Namaus.
Ewon bersama Rev.Thenny Megat Ali, Setiausaha Agung Merangkap Ketua Jabatan Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia SIB Sabah menandatangani plak sebagai simbolik perasmian Hari Ulang Tahun Ke-60 BTS Namaus.

3 Jun 2025


RANAU: Kerajaan Persekutuan akan terus menjamin hak beragama di negara ini, termasuk hak masyarakat Kristian, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.


Beliau berkata, kebenaran kepada masyarakat Kristian untuk menggunakan Alkitab yang mengandungi kalimah Allah merupakan bukti bahawa kerajaan menghormati hak semua masyarakat mengamalkan agama masing-masing.


“Kerajaan Persekutuan juga menyediakan peruntukan bagi Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) yang dikendalikan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT),” katanya ketika berucap pada Majlis Ulang Tahun Ke-60 Borneo Theological Seminary (BTS) di Namaus, di sini, hari ini.


Ewon berkata, pelantikan beliau bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, mewakili Malaysia ke Vatican pada bulan lalu, bagi memberi penghormatan terakhir kepada Pope Francis, adalah mesej jelas usaha berterusan kerajaan dalam memupuk keharmonian antara agama.

“Ini memberikan mesej bahawa keharmonian dan perpaduan antara masyarakat pelbagai agama di Malaysia terus subur dan dijamin oleh Kerajaan Persekutuan sepertimana dalam Perlembagaan,” katanya.


Beliau juga berharap agar BTS terus melahirkan lebih ramai graduan menjadi pemimpin gereja.


“Peranan saya adalah untuk memimpin dalam bidang lain terutama bagi memastikan hak beragama terus dijamin, serta usaha memperkukuh kerjasama antara kaum dan agama di negara ini dapat dijayakan,” katanya.


Pada majlis tersebut, Ewon turut menyampaikan peruntukan sebanyak RM50,000 kepada Tabung Biasiswa BTS sebagai sokongan terhadap pembangunan pendidikan teologi di Sabah.


Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page