top of page

Kerajaan Terima Tawaran SEAGF Jadi Tuan Rumah Sukan SEA 2027 - KBS

  • nabalunews
  • Aug 28, 2024
  • 1 min read

28 Ogos 2024


KUALA LUMPUR : Malaysia bersetuju menerima tawaran daripada Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) untuk menjadi tuan rumah temasya Sukan SEA 2027.


Menurut Kementerian Belia dan Sukan (KBS) keputusan itu dibuat Jemaah Menteri dalam mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah mengambil kira komitmen penganjuran bersama oleh tiga negeri iaitu Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang.


“Sebelum ini, Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang telah menyatakan kesediaan untuk menggunakan peruntukan masing-masing bagi menjadi penganjur bersama dengan Kuala Lumpur,” menurut kementerian itu dalam kenyataan hari ini, lapor Bernama.


Sabtu lepas, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan bersetuju menjadikan Sarawak sebagai penganjur bersama temasya dwitahunan itu mengambil kira keupayaan negeri berkenaan menjadikan Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 sebagai antara penganjuran terbaik temasya sukan.


Pengumuman itu turut disokong Majlis Sukan Negara (MSN) yang menganggap ia sebagai isyarat positif buat industri sukan tanah air dalam usaha meningkatkan prestasi atlet kebangsaan dengan penganjuran temasya besar dalam negara.


KBS turut merakamkan ucapan tahniah kepada kerajaan Sarawak dan Jawatankuasa Penganjur SUKMA XXI atas kejayaan mengendalikan temasya itu yang berakhir 24 Ogos lepas.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page