Kesihatan pergigian penting dititikberatkan
- nabalunews
- Jul 19, 2025
- 2 min read

19 Julai 2025
SANDAKAN: Kaji Selidik Kebangsaan Kesihatan Mulut Kanak-kanak Prasekolah Tahun 2015 (NOHPS, 2015) melaporkan lapan daripada 10 atau 82 peratus kanak-kanak berusia 5 tahun di Sabah mempunyai masalah gigi berlubang.
Dari aspek keterukkan masalah ini, hampir tujuh daripada 20 batang gigi susu kanak-kanak di Sabah rosak dan berlubang.
Manakala Kaji Selidik Kebangsaan Kesihatan Mulut Pelajar-pelajar Sekolah (NOHSS, 2017) pula menunjukkan enam daripada 10 (63.3 peratus) pelajar sekolah berusia 12 tahun di Sabah mempunyai masalah gigi berlubang ini.

Manakala Kaji Selidik Kebangsaan Kesihatan Mulut Orang Dewasa Tahun 2020 [NOHSA, 2020] menunjukkan 9 daripada 10 (94.1 peratus) orang dewasa di Sabah juga turut mempunyai masalah yang sama.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib berkata, peratusan itu juga adalah yang tertinggi di di negara ini dan Sabah mempunyai bilangan orang dewasa dengan masalah gigi berlubang yang paling ramai.
Katanya, beberapa statistik menunjukkan bahawa kebanyakan penduduk di Sabah terutamanya di kawasan luar bandar mengalami masalah gigi berlubang secara berterusan.

“Ini sering kali berpunca daripada diet yang kaya dengan gula dan asid, serta kurangnya amalan pemeliharaan kesihatan gigi seperti memberus gigi secara berkesan dan mengunjungi klinik pergigian untuk pemeriksaan berkala.
“Kesedaran berhubung kesihatan pergigian penting agar statistik itu tidak berulang,” katanya.
Menurutnya, Bahagian Kesihatan Pergigian Negeri Sabah juga telah menjalankan pelbagai usaha untuk meningkatkan kesedaran dan menggalakkan amalan pemeliharaan kesihatan pergigian yang betul di kalangan penduduk Sabah melalui pelbagai program kesihatan pergigian.

“Antaranya seperti pemeriksaan dan rawatan kesihatan pergigian di klinik pergigian dan dalam komuniti melalui program jangkau luar (outreach), perkhidmatan pasukan pergigian bergerak untuk sekolah-sekolah, dan penyediaan perkhidmatan pergigian kepakaran dengan harga yang berpatutan di klinik-klinik kerajaan.
“Bahagian Kesihatan Pergigian Negeri Sabah juga dalam usaha untuk memperluaskan lagi akses kepada perkhidmatan pergigian di kawasan luar bandar, meningkatkan pendidikan kesihatan gigi di kalangan masyarakat tempatan serta membangunkan strategi yang berkesan untuk mengurangkan kadar penyakit gigi berlubang dan masalah gusi di Sabah secara menyeluruh,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Minggu Promosi Kesihatan Pergigian 2025 Peringkat Negeri Sabah yang membawa tema "Tiada Kesihatan Tanpa Kesihatan Pergigian" di perkarangan The Piazza Harbour Mall Sandakan pada Sabtu.
Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Setiausaha Tetap kementeriannya, Alijah Ismail.
Turut hadir, ADUN Tanjong Papat, Datuk Frankie Poon Ming Fung, wakil Pengarah Kesihatan Negeri, Dr.Muhammad Jikal dan yang lain.
Program berkenaan dianjurkan Bahagian Kesihatan Pergigian Negeri Sabah, Pejabat Kesihatan Pergigian Kawasan Sandakan dan Kelab Kebajikan Sukan dan Rekrasi Pergigian Sabah (BUTIZA).
Minggu Promosi Kesihatan Pergigian atau MPKP disambut setiap tahun bertujuan meningkatkan tahap kesihatan mulut pesakit melalui pengukuhan penjagaan kendiri (self-care) dan pencegahan penyakit pergigian melalui saringan awal (early detection) bagi pencegahan awal penyakit pergigian.















Comments