top of page
  • Wartawan Nabalu News

KKIA sesak dengan pelancong Korea Selatan, MASB digesa naik taraf kemudahan


5 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Lebih 1,000 pelancong Korea Selatan yang tiba secara berterusan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada malam Rabu lalu menyebabkan keadaan huru hara di lapangan terbang itu.


Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew berkata, situasi itu berlaku kerana lima syarikat penerbangan dari Korea Selatan mendarat pada jarak masa yang dekat.


Beliau berkata, syarikat penerbangan yang tiba ketika itu ialah Jin Air, Jeju Air, Air Busan dan T'way yang membawa penumpang dari Incheon dan Busan.


"Saya dimaklumkan oleh Pengurusan KKIA bahawa kesemua 10 kaunter Imigresen yang ada telah dibuka pada malam itu. Saya juga menerima maklum balas daripada pemain industri pelancongan dan ahli komuniti perniagaan yang melihat keadaan itu bahawa kemudahan tandas di lapangan terbang tidak mencukupi," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.


Menurutnya, terdapat keperluan mendesak untuk menaik taraf kemudahan di KKIA kerana terminal lapangan terbang itu tidak cukup luas untuk menampung kebanjiran pelancong.


"Kita memerlukan lebih banyak kaunter Imigresen dan saya fikir susunan semula kaunter adalah wajar untuk mengurangkan kesesakan dan melancarkan proses pelepasan," katanya.


Beliau turut melahirkan rasa kesalnya kerana amaran awal mengenai fenomena ini sebelum jangkaan pembukaan semula sempadan antarabangsa tidak diambil perhatian oleh pihak berkaitan.


Justeru, beliau menyeru pihak pengurusan KKIA untuk memulakan kerja dengan segera melalui pembinaan kemudahan sedia ada bagi menghadapi kebanjiran pelancong antarabangsa dan domestic.


Terdahulu Christina berkata, Malaysia Airports Sdn Bhd (MASB) telah memperuntukkan sebanyak RM8.4 juta untuk menaik taraf kemudahan di KKIA termasuk penambahbaikan tandas awam, penurapan semula landasan, dan menaik taraf lot komersial serta sistem Pengumuman Awam (PA).


Comments


bottom of page