top of page

KM: Kebajikan wanita turut diberi perhatian

  • nabalunews
  • 6 minutes ago
  • 2 min read

Hajiji menyampaikan bantuan dapur kepada salah seorang penerima.
Hajiji menyampaikan bantuan dapur kepada salah seorang penerima.

1 September 2025


TUARAN: Kesejahteraan rakyat merangkumi aspek kebajikan adalah antara keutamaan dalam pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).


Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia termasuk kebajikan dan keperluan wanita turut diberi perhatian kerana mereka juga memainkan peranan dalam pembangunan negeri.


“Kita menghargai peranan wanita dan kita tidak melupakan kebajikan mereka,” katanya pada majlis penyampaian bantuan dapur kepada kira-kira 1,000 suri rumah di Sulaman bertempat di Pusat Kebudayaan Bajausamah, Lok Batik di sini hari ini.


Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N12 Sulaman berkata, beliau yakin dengan sokongan wanita, khususnya di Sulaman, akan menjadi penentu kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam pilihan raya negeri akan datang.


Hajiji berkata, beliau boleh bergantung kepada sokongan kaum wanita dan dengan usaha gigih mereka, beliau yakin GRS akan mencapai kemenangan.


Hajiji turut mengecam pembangkang yang mendakwa GRS adalah Kerajaan Negeri yang gagal.


“Ketika saya mengambil alih pentadbiran, Sabah sama seperti tempat lain di dunia, berdepan situasi suram akibat pandemik COVID-19, selain itu landskap politik negara juga sangat tidak menentu ketika itu.


“Saya sendiri turut dijangkiti COVID-19. Selama dua bulan, saya tidak dapat bertemu pegawai kerajaan mahupun hadir ke pejabat. Namun, dalam keadaan sukar itu dengan tekad yang ada, kami berjaya mencetuskan idea untuk melaksanakan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya,” katanya.


Menurut beliau, Hala Tuju SMJ dirangka bagi memulihkan ekonomi negeri yang terjejas teruk akibat pandemik, sambil menambah bahawa selepas lebih empat tahun, pelan itu membuahkan hasil dengan pemulihan ekonomi Sabah.


Sejak itu, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat termasuk bantuan bulanan RM300 di bawah program SYUKUR kepada kira-kira 100,000 rakyat miskin dan miskin tegar Sabah yang tersenarai dalam e-Kasih selama setahun.


“Dari segi bantuan kebajikan, kita telah membelanjakan kira-kira RM1.4 bilion untuk membantu 70,000 penerima, manakala dalam bidang pendidikan, Kerajaan Negeri telah membelanjakan RM1.33 bilion di bawah pembangunan modal insan,” katanya sambil menambah bahawa Kerajaan Negeri juga melaksanakan Rumah Mesra SMJ yang menyediakan rumah percuma kepada rakyat yang memerlukan di Sabah.


Hajiji berkata berpeluang membantu rakyat merupakan satu kepuasan besar bagi kerajaan GRS sambil menambah bahawa dengan sokongan rakyat, beliau yakin dapat mempertahankan kerusi Sulaman dalam pilihan raya negeri akan datang.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page