KM: Sentimen parti tempatan akan memihak kepada GRS
- nabalunews
- Aug 29
- 2 min read

29 Ogos 2025
TAMBUNAN: Sentimen rakyat terhadap parti tempatan untuk memimpin politik Sabah sangat kuat dan peluang keemasan ini tidak akan disia-siakan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Sehubungan itu, beliau mahu rakyat bersatu kerana ia adalah masa terbaik untuk rakyat memastikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menang dengan cemerlang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
"Berdasakan sentimen ini, saya yakin bahawa gabungan pemerintah akan diberikan mandat baharu selepas PRN) ke-17 untuk menerajui Kerajaan Negeri," katanya pada program Jerayawara Yayasan Sabah Bersama Rakyat (YSBR) 2025 di Dataran Pisompuruan, di sini pada Khamis.
Kerajaan Negeri GRS pada masa ini terdiri daripada lapan parti tempatan iaitu Parti Solidariti Tanahairku (Star), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Gagasan Rakyat, Parti Maju Sabah, (SAPP), Parti Harapan Sabah, Pertubuhan Kebangsaan Bersatu Sabah (Usno), Parti Liberal Democratik (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS).
Hajiji berkata, sepanjang lima tahun yang lalu, Kerajaan Negeri GRS di bawah kepimpinannya telah membuktikan rekod pencapaian membawa pembangunan kepada negeri dan rakyat.
“Kita telah mencapai banyak kejayaan dan berjaya membangunkan semula ekonomi negeri berasaskan tiga teras ekonomi iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan.
“Dalam sektor pertanian, kita telah menghidupkan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah dengan matlamat untuk meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) makanan negeri kepada 60 peratus menjelang 2030,” katanya.
Dalam sektor perindustrian pula, katanya, dasar mesra pelabur kerajaan negeri telah berjaya menarik ramai pelabur berimpak tinggi, termasuk pelabur dari Singapura yang membawa masuk pelaburan bernilai RM31 bilion melalui tiga fasa.
“Ini bukan sahaja dapat menjana ekonomi negeri, malah mewujudkan ribuan peluang pekerjaan,” katanya.
Hajiji berkata, kerajaan negeri telah melaksanakan banyak inisiatif untuk meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat, termasuk bantuan bulanan RM300 kepada kira-kira 100,000 golongan miskin dan miskin tegar di Sabah selama setahun.
“Dari segi bantuan kebajikan, kita telah membelanjakan kira-kira RM1.4 bilion untuk membantu 70,000 penerima, manakala dalam pendidikan, kerajaan negeri telah membelanjakan RM1.33 bilion bagi pembangunan modal insan,” katanya.
“Saya ingin bertanya kepada Shafie Apdal, apa yang beliau telah lakukan sepanjang dua setengah tahun menjadi Ketua Menteri dan juga ketika menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar selama hampir tujuh tahun?” soalnya.
Oleh sebab itu, Hajiji berkata rakyat tidak boleh membuat pilihan yang salah dalam PRN akan datang.


















Comments