Komitmen Konsisten: Ewon Pastikan Pendidikan Tetap Keutamaan Di Kadamaian
- nabalunews
- 3 days ago
- 2 min read

11 Jun 2025
KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian merangkap Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick, sekali lagi menzahirkan komitmen tinggi terhadap sektor pendidikan melalui penyaluran sumbangan kepada seorang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang bakal menyertai lawatan akademik dan budaya ke Korea Selatan.
Sumbangan tersebut disampaikan kepada Maine Suadik, pelajar Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), yang berasal dari Kampung Piasau, Kota Belud. Lawatan tersebut dijadual berlangsung dari 18 hingga 24 Jun 2025, sebagai sebahagian daripada Program Sosiologi dan Antropologi Sosial FSSK UMS yang bertemakan “Beyond Borders: UMS Academic Trail to South Korea.”
Inisiatif ini merupakan langkah strategik dalam mendokong usaha pengantarabangsaan universiti serta membina jaringan kerjasama global yang memberi manfaat langsung kepada pembangunan sosioekonomi negeri Sabah.
Menurut Maine, program ini bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar untuk meningkatkan pemahaman dalam bidang akademik dan budaya antarabangsa, malah berfungsi sebagai platform memperkukuh kapasiti belia luar bandar serta memberi sumbangan terhadap penambahbaikan dasar-dasar awam yang berkaitan di Sabah.
Antara pengisian utama lawatan ialah pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Korean Association For Public Administration (KAPA) serta pembentangan kertas kerja bertajuk “Strengthening Local Governance: The Role of Third-Sector Organisations in Co-Producing Public Services in Sabah, Malaysia” dalam Persidangan Antarabangsa KAPA 2025 yang bertemakan “Public Administration in a Turbulent World: Global Trends, Democratic Governance and The AI Revolution.”
Selain itu, turut dijadualkan ialah pemeteraian Letter of Intent (LoI) bersama Sungkyunkwan University (SKKU) yang merangkumi aspek penyelidikan dan mobiliti pelajar. Lawatan tersebut juga akan melibatkan kunjungan ke Incheon Smart City Corporation (ISC) serta lawatan hormat ke Kedutaan Malaysia di Seoul.
Sumbangan ikhlas tersebut telah disampaikan oleh wakil Pejabat Khidmat ADUN Kadamaian, Hadlee Panchai, kepada bapa Maine, Suadik Nuar, yang mewakili pihak penerima. Suadik merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas sokongan yang telah diberikan oleh Ewon.
Dalam kenyataannya, Ewon menegaskan bahawa sumbangan ini merupakan manifestasi sokongan beliau terhadap pendidikan anak muda Kadamaian, khususnya mereka yang berpeluang mengharumkan nama negeri dan negara di peringkat antarabangsa. Beliau turut menzahirkan ucapan tahniah dan berharap sumbangan tersebut sedikit sebanyak dapat meringankan beban kewangan pelajar terlibat.
Langkah ini menunjukkan keprihatinan berterusan beliau terhadap pembangunan insan, sekali gus meneguhkan aspirasi menjadikan pendidikan sebagai pemacu utama kemajuan masyarakat luar bandar.
Comments