Komuniti Kampung Sogoh Terima Sumbangan Fasiliti Daripada Ewon
- nabalunews
- Jul 2, 2025
- 2 min read

2 Julai 2025
KOTA BELUD: Komuniti Kampung Sogoh terus dibela menerusi penambahbaikan prasarana daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick yang terus menunjukkan komitmen terhadap kebajikan masyarakat setempat di Kadamaian apabila menyalurkan sumbangan bagi menambah baik kemudahan fasiliti dewan komuniti di Kampung Sogoh, Kota Belud.
Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh wakil Pejabat Khidmat ADUN Kadamaian, Shainim Epin mewakili Ewon kepada Ketua Cawangan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Kampung Sogoh, Soinah Sudompong.
Menurut Soinah, sumbangan berkenaan adalah bertujuan untuk pembelian keperluan asas seperti pemasangan kipas di dalam dewan komuniti, pemasangan lampu sorot di bahagian luar dewan, serta penambahan sistem pendawaian elektrik di ruang dapur.
“Bagi pihak komuniti Kampung Sogoh, kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Ewon atas sumbangan yang diberikan. Dewan ini merupakan pusat utama aktiviti komuniti dan penambahbaikan yang dilakukan ini sudah pasti meningkatkan keselesaan dan keselamatan para pengguna,” ujarnya.
Beliau turut menekankan bahawa dewan tersebut kerap digunakan oleh pelbagai lapisan masyarakat untuk menjalankan aktiviti sosial, program komuniti serta majlis-majlis rasmi di peringkat kampung.
Sumbangan ini menunjukkan pendekatan berterusan wakil rakyat dalam memperkukuh peranan kemudahan awam sebagai tunjang pembangunan sosial dan perpaduan masyarakat setempat. Inisiatif seumpama ini juga dilihat selari dengan agenda pembangunan luar bandar yang lebih inklusif dan menyeluruh.
Ewon sebelum ini telah melaksanakan pelbagai inisiatif di kawasan Kadamaian, termasuk menaik taraf infrastruktur asas, pendidikan, serta memperluas capaian bantuan kepada golongan sasar. Komitmen beliau dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela terus menerima sokongan daripada masyarakat tempatan.
Masyarakat Kampung Sogoh menyambut baik usaha ini dan berharap agar bantuan serta perhatian terhadap pembangunan kampung akan terus diperkasa bagi menjamin kesejahteraan dan kemajuan penduduk secara berterusan.
Terdahulu, Ewon telah bersetuju untuk menyalurkan sumbangan dana untuk penambahbaikan fasiliti untuk Dewan Komuniti Sogoh semasa beliau hadir merasmikan Pesta Kaamatan Kampung Sogoh 2025 pada 27 Jun yang lalu.















Comments