top of page

Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang beri penekanan khas tema "Malaysia Madani: Rakyat Disantuni"

  • nabalunews
  • Jul 31, 2025
  • 2 min read

31 Julai 2025


KOTA KINABALU: Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) pada tahun ini membawa penekanan khas kepada tema "Malaysia Madani: Rakyat Disantuni".


Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Sabah Jainisah Mohd Noor berkata, pengisian konvoi berkenaan memberi fokus kepada program serta aktiviti menyantuni rakyat secara inklusif.


"Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang pada tahun ini membawa penekanan khas kepada tema "Malaysia Madani: Rakyat Disantuni", di mana pengisian program lebih fokus kepada menyantuni rakyat melalui perkhidmatan langsung agensi, aktiviti komuniti, bengkel kemahiran, dan pelibatan strategik pelbagai pihak.


"Tema ini diterjemahkan melalui pengisian yang berorientasikan rakyat seperti program Jiwa Madani, kenduri rakyat, program kebajikan ke rumah anak yatim dan orang kelainan upaya (OKU), serta penyampaian perkhidmatan secara langsung oleh agensi kerajaan di setiap daerah.


"Ia menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat," ujar Jainisah ketika menjadi tetamu dalam Segmen Kita Cerita di SabahFM pada Selasa.


Sementara itu, buat julung-julung kalinya Shirba Proton Auto World berkolaborasi dengan JAPEN Sabah dalam menjayakan program tahunan tersebut.


Menurut Pengurus Cawangan Proton 3S Shirba Auto Stefenie Fanie John, konvoi KMJG menjadi platform untuk pihak swasta bersama-sama menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan, di samping dapat menyemai semangat patriotisme serta kempen menggunakan kenderaan produk Malaysia kepada masyarakat.


"Ini adalah merupakan kerjasama yang pertama kami dalam menjayakan sesebuah program yang melibatkan Bulan Kebangsaan di mana kami di pihak swasta dapat menjadikan program nasional menjadi lebih rancak, inklusif dan relevan kepada semua masyarakat selain kami terus memberi komitmen kepada tanggungjawab sosial (CSR) kami.


"Secara keseluruhannya, kami akan berada di beberapa check point di mana kami akan memberi peluang kepada pengunjung untuk pandu uji kereta kebanggaan negara iaitu Proton yang kami bawa dan kami juga akan menawarkan pemeriksaan kenderaan secara percuma serta tips-tips penjagaan kenderaan selain kami akan mengadakan sukaneka bagi memeriahkan lagi program KMJG ini," jelasnya.


Program KMJG anjuran Jabatan Penerangan (JAPEN) bakal menempuh perjalanan sejauh 2,500 km melalui 75 perhentian (checkpoint) dalam masa 20 hari bermula 5 hingga 22 Ogos ini.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page