top of page
nabalunews

KPDN Sandakan laksanakan Operasi Pemeriksaan Di Pasar Malam: Empat peniaga diambil tindakan

13 September 2024

Oleh Wartawan Nabalu News 


SANDAKAN: Seramai empat peniaga diambil tindakan menerusi Operasi Pemeriksaan di Pasar Malam Buah-Buahan dan Sayur, Bandar Sandakan yang dilaksanakan sepasukan Pegawai Penguatkuasa Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Sandakan.


Operasi diketuai oleh Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah KPDN Sandakan, Azdy Zukkry John di bandar Sandakan.


Azdy berkata, empat tindakan kes itu adalah kesalahan di bawah Seksyen 14(6) Akta Timbang dan Sukat 1972.


Ini kerana hasil pemeriksaan di gerai peniaga terbabit mendapati mereka menggunakan satu unit alat timbang neraca spring yang tidak ditentusahkan untuk tujuan perdagangan. 


Semua peniaga terbabit telah dikompaun RM200 setiap seorang.


Sebanyak 102 Kenyataan Pemeriksaan Premis juga turut dikeluarkan semasa operasi pemeriksaan di pasar malam tersebut.


Azdy berkata demikian menerusi satu kenyataan di Sandakan hari ini.


Jelasnya, pemeriksaan itu juga menumpukan kepada pematuhan Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 dan Akta Timbang Dan Sukat 1972. 


Manakala fokus pemeriksaan adalah terhadap peniaga buah-buahan terutamanya durian yang bersifat sementara dan bermusim termasuk peniaga-peniaga sayur di kawasan terbuka berhampiran Pasar Umum Sandakan. 


Selain itu, operasi pemeriksaan ini juga dijalankan untuk memaklumkan kepada masyarakat mengenai pentingnya ketepatan timbang dan sukat dalam perniagaan agar mereka tidak mudah terpedaya dengan peniaga yang ingin mengambil kesempatan.


Sementara itu, Azdy berkata, sejak 1 Januari 2024 sehingga 13 September 2024 lalu, sebanyak 5,399 premis perniagaan telah diperiksa oleh KPDN Cawangan Sandakan.


Sepanjang tempoh berkenaan sebanyak 158 kes telah direkodkan oleh KPDN Sandakan dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM2,743,559.24 dan jumlah nilai kompaun keseluruhan RM44,300.


Katanya sejak awal tahun 2024 sehingga kini, dua kes telah didakwa di mahkamah yang mana kedua-dua kes berkenaan telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah dan didenda keseluruhannya berjumlah RM24,000.


Manakala sepanjang tempoh dari 1 Januari 2024 hingga 13 September 2024 lalu, sebanyak 113 aduan pengguna telah diterima KPDN cawangan Sandakan.


Katanya, daripada 113 aduan tersebut, 106 aduan (93.8%) telah disiasat dan diselesaikan manakala baki 7 aduan lagi sedang dalam siasatan.


Azdy berkata, KPDN Cawangan Sandakan sentiasa mengalu-alukan sebarang maklumat dan aduan berkaitan salah laku peniaga.


Pengguna boleh menyalurkan aduan menerusi saluran-saluran rasmi aduan di KPDN antaranya melalui whatsapp 019 279 4317 / 019 848 8000 atau portal aduan: http://eaduan.kpdn.gov.my


Masyarakat juga boleh menghubungi Call Centre 1 800 886 800 atau emel: aduan@kpdn.gov.my selain menerusi aplikasi Ez ADU KPDN.

Comments


bottom of page