KPDN sasar 20,000 siri PJRM sehingga akhir tahun
- nabalunews
- Jul 24, 2025
- 1 min read

24 Julai 2025
PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyasarkan pelaksanaan sebanyak 20,000 siri Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) di seluruh negara sepanjang tahun ini.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ia susulan penambahan peruntukan RM300 juta di bawah agenda Payung Rahmah Madani seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
Katanya, KPDN akan melaksanakan tiga elemen penambahbaikan utama dalam pelaksanaan PJRM 2025 termasuk meningkatkan kekerapan di seluruh negara meliputi 222 kawasan Parlimen dan 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 40 zon di Wilayah Persekutuan.
“Elemen kedua ialah untuk meningkatkan jenis Unit Penyimpanan Stok (SKU) barangan keperluan asas yang ditawarkan secara bersasar berdasarkan permintaan golongan sasar setempat dan keperluan musim tempoh penganjuran seperti musim perayaan.
“Selain itu, penambahbaikan turut melibatkan lebih banyak rakan strategik peruncitan melalui kaedah PJRM Bergerak, Dalam Premis dan Luar Premis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Armizan berkata, kementeriannya akan mengemas kini penjadualan tambahan PJRM menerusi laman sesawang KPDN dari semasa ke semasa untuk rujukan orang ramai.
Dalam pada itu beliau berkata, KPDN amat mengalu-alukan dan menghargai inisiatif serta ikhtiar berpaksikan kesejahteraan rakyat yang diumumkan Perdana Menteri semalam.
“Keseluruhan inisiatif yang diumumkan terkait secara langsung dengan agenda menangani isu kos sara hidup dalam bentuk mitigasi atau intervensi isu harga secara bersasar dan tambahan kepada bantuan sara hidup,” katanya.
Anwar mengumumkan peruntukan PJRM tahun ini ditingkatkan sekali ganda kepada RM600 juta berbanding RM300 juta yang telah disediakan bertujuan untuk meningkatkan kekerapan dan memperluas jumlah lokasi diseluruh negara serta memperbanyak jenis barangan ditawarkan.















Comments