7,750 KIR di Kota Belud terima bantuan SYUKUR tahun Ini - Ewon

25 Sept 2026
KOTA BELUD: Seramai 7,750 ketua isi rumah (KIR) di kawasan Parlimen Kota Belud dikenal pasti sebagai penerima bantuan Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) tahun ini, termasuk 1,816 orang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian.
Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick berkata, program bantuan bulanan RM200 itu bertujuan meringankan beban kos sara hidup golongan miskin dan miskin tegar.
“Bagi tahun 2026, Program SYUKUR kini memasuki fasa ketiga dan melibatkan seramai 140,000 penerima di seluruh Sabah,” katanya ketika berucap merasmikan Program Outreach SYUKUR 2026 sempena Mini Karnival Usahawan IKS Sabah di Kadamaian Square, di sini, hari ini.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan berkata, seramai 30 penerima menerima bantuan secara tunai pada majlis itu.
Katanya, penerima lain yang belum menerima bayaran tunai boleh membuat tuntutan di cawangan Sabah Credit Corporation (SCC) berhampiran mulai awal Oktober ini.

Sementara itu, Ewon berkata, Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan terus memperkukuh ekosistem keusahawanan.
Katanya, antara inisiatif dilaksanakan ialah Program Transformasi Usahawan Sabah (TRUS-MIDE) yang membantu usahawan meningkatkan kualiti pembungkusan produk, termasuk dari segi reka bentuk, pendaftaran dengan MyIPO, maklumat kandungan nutrisi, kod bar dan tarikh luput.
“Sejak diperkenalkan pada 2011, Program TRUS telah memberi manfaat kepada 800 usahawan di seluruh Sabah. Penambahbaikan pembungkusan dan pematuhan terhadap keperluan pasaran membuka peluang kepada produk tempatan untuk dipasarkan dengan lebih meluas,” katanya.

Beliau berkata, kementeriannya melalui Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) turut melaksanakan Program SME-UP yang menyediakan bantuan mesin dan peralatan, pembungkusan dan pelabelan, mesin retort, pensijilan halal serta pendaftaran cap dagangan.
“Sehingga 2025, seramai 5,879 usahawan menerima manfaat melalui program itu dengan peruntukan berjumlah RM60.999 juta,” katanya.
Ewon berharap usahawan yang menyertai Mini Karnival Usahawan IKS Sabah memanfaatkan peluang untuk mendapatkan maklumat, memperluas jaringan perniagaan dan memahami keperluan pasaran.

“Usahawan perlu terus memberi perhatian kepada kualiti produk, pembungkusan, pensijilan dan pemasaran supaya perniagaan mereka dapat berkembang secara mampan,” katanya.















Comments