KPKM Laksana Pelan Jangka Panjang, Pendek Tangani Krisis Bekalan Kelapa
- nabalunews
- Mar 26
- 1 min read

26 Mac 2025
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang melaksanakan pelan jangka pendek dan panjang bagi memastikan negara tidak mengalami krisis bekalan kelapa pada masa akan datang.
Timbalan Menteri KPKM, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, sebagai langkah jangka pendek, kementerian melaksanakan tiga intervensi utama, iaitu meningkatkan import kelapa tua dari Indonesia serta mendapatkan bekalan dari Sabah dan Sarawak.
Katanya, intervensi ketiga adalah inisiatif Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia (LPP) untuk mendapatkan bekalan kelapa dari peladang dan pekebun kecil dari seluruh negara.
“Manakala, bagi pelan jangka panjang, KPKM menggalakkan penanaman kelapa secara meluas bagi meningkatkan pengeluaran tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada import,” katanya di Dewan Negara, semalam.
Arthur berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Koh Nai Kwong mengenai langkah kementerian untuk mengelakkan krisis bekalan kelapa pada masa depan.
Menurutnya, KPKM melalui FAMA telah mengimport dan mengedarkan sebanyak 1,053,011 biji kelapa tua atau 1,053 tan bernilai RM2.42 juta, setakat 23 Mac tahun ini.
“Bekalan tersebut disalurkan melalui 42 Pusat Operasi FAMA di seluruh negara dan dipasarkan ke outlet peruncitan FAMA serta pemborong utama bagi memastikan ketersediaan bekalan di pasaran,” katanya.
Comments