KPLB SABAH PASTIKAN ANAK PESERTA MESEJ TIDAK TERCICIR PELAJARAN
- Wartawan Nabalu News
- Feb 17, 2021
- 1 min read

17 Feb 2021
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah akan memastikan tiada anak-anak peserta Progam Mini Estet Sejahtera (MESEJ) tercicir dari segi pelajaran.
Sehubungan itu, Menterinya Datuk Jahid Jahim berkata, kerajaan menyediakan dua buah van untuk kegunaan para pelajar di Mesej Balat Kainabatangan dan Kg.Sapang Kunak.
Beliau berkata, kerajaan mengambil berat pendidikan dan kebajikan anak-anak di negeri ini terutama golongan kurang berkemampuan bagi memastikan mereka mendapat pendidikan sempurna.
"Setiap anak-anak berhak mendapat pendidikan, justeru, kita telah merancang pelbagai cara untuk meningkatkan taraf hidup rakyat luar bandar yang memerlukan pembelaan," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Dua Van Kepada MESEJ Kg Sapang, Kunak dan MESEJ Kg Balat, Kinabatangan di perkarangan bangunan KPLB Sabah, di sini, hari ini.
Jahid yang juga Wakil Rakyat Tamparuli, berkata, van bernilai RM191,000 sebuah itu merupakan sumbangan kerajaan negeri melalui KPLB Sabah dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB).
"Tujuannya untuk membantu anak-anak keluarga golongan sasar yang menghadapi masalah pengangkutan pergi ke sekolah.
"Kita tidak mahu mendengar atau melihat anak-anak tidak dapat meneruskan persekolahan hanya semata-mata tidak mampu membayar tambang bas sekolah atau tiada kenderaan," katanya.
Jahid sekali lagi menggesa agar liputan internet di kawasan luar bandar diperluaskan dengan segera, agar rakyat dapat menikmati peluang sama seperti kawasan-kawasan lain yang menerima liputan jalur lebar yang lebih baik.
Simbolik penyerahan replika kunci van diterima oleh Pegawai Daerah Kinabatangan, Majaran Osman dan Pegawai Daerah Kunak, Abdul Manap Abd Ruhim.
Turut hadir Pembantu Menteri KPLB Sabah, Harun Durabi, Samad Jambri, Pengerusi SLDB, Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin, Setiausaha Tetap KPLB Sabah, Faimin Kamin dan Pengurus Besar SLDB, Syaheddrul R Joddari.
Comments