KPM minta JPN Sabah guna peruntukan sedia ada bantu pasukan bola sepak MSS Sabah
- Wartawan Nabalu News
- Aug 18, 2023
- 1 min read

18 Ogos 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) telah meminta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah untuk menggunakan peruntukan sedia ada bagi membantu pasukan-pasukan bola sepak Majlis Sukan Sekolah (MSS) Sabah yang menghadapi masalah kewangan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ini adalah bagi menampung kos penyertaan pasukan tersebut dalam Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2023 yang akan diadakan di Johor kelak.
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada satu hantaran yang tular di media sosial dimana seorang guru di Sabah meluahkan kekecewaannya kerana pasukan bola sepak Keningau bawah 18 tahun (B-18) yang menjuarai kejohanan MSS Sabah baru-baru ini tidak dapat mengambil bahagian dalam kejohanan MSSM.
Difahamkan guru tersebut berkata pasukannya tidak dapat 'diterbangkan' ke Johor kerana masalah kewangan.
Oleh itu, beliau menyatakan ucapan terima kasih Kerajaan Negeri Sabah, Kementerian Belia dan Sukan Sabah dan pemimpin-pemimpin komuniti sama-sama membantu mencari jalan penyelesaian bagi isu ini.
"KPM sentiasa berusaha untuk memastikan penglibatan menyeluruh semua murid institusi pendidikan bawah KPM dalam sukan dan kegiatan kokurikulum yang dapat menggilap bakat dan membentuk kemahiran insaniah," katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Fadhlina berkata, beliau cakna dengan isu tersebut dan menegaskan bahawa KPM telah menyediakan peruntukan yang mencukupi untuk penganjuran sukan dan aktiviti kokurikulum di setiap peringkat.
"Peruntukan juga diberi kepada setiap jabatan pendidikan negeri bagi memastikan aktiviti sukan dan kokurikulum dapat dilaksanakan secara menyeluruh," katanya.















Comments