Kuasa Politik Perlu Dikongsi, Bukan Dikuasai – Salleh
- nabalunews
- Jun 15, 2025
- 1 min read

15 Jun 2025
KOTA KINABALU: Tiada parti dalam mana-mana gabungan politik wajar bertindak sebagai ‘bos’, sebaliknya kuasa harus dikongsi secara adil dan saksama.
Bekas Ketua Menteri Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, setiap parti politik memiliki kekuatan tersendiri dan wajar dihormati sebagai rakan kongsi setara dalam sesebuah gabungan.
Katanya, gabungan yang baik dibina atas asas kepimpinan bersama dan pembahagian kuasa yang adil, bukan dikawal oleh satu parti semata-mata
“Semua keputusan, tanggungjawab dan perwakilan mesti dibincang dan dipersetujui bersama.
“Agenda bersama yang dipersetujui semua pihak adalah lebih penting, terutama dalam perkara berkaitan pembangunan negeri, tadbir urus yang baik serta perlindungan hak Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial, hari ini.
Salleh berkata, perwakilan adil bagi tiga kelompok utama di Sabah iaitu Bumiputera Islam, Bumiputera bukan Islam dan bukan Bumiputera adalah penting.
Bagaimanapun katanya, ia tidak akan mencukupi sekiranya kuasa tidak dikongsi secara adil dan menyeluruh.
“Setiap parti mesti ada peranan sebenar dan suara yang dihormati dalam membuat keputusan.
“Gabungan yang kukuh perlu mencerminkan kepelbagaian Sabah, dan semua kelompok berhak mendapat tempat di meja rundingan,” katanya.
Menurutnya, kestabilan politik hanya akan tercapai apabila semua pihak merasa dihormati serta dilibatkan dalam kerjasama inklusif sekali gus memebentuk gabungan yang lebih kuat dan bersatu.
“Sudah tiba masa untuk kita tinggalkan cara fikir lama. Sabah perlukan gabungan yang bekerja sebagai satu pasukan, bukan satu parti yang mengawal segalanya manakala yang lain sekadar mengikut,” katanya.


















Comments