top of page

Kursus Durian tarik 142 peserta, minat terhadap industri kian meningkat

  • nabalunews
  • Apr 16
  • 2 min read

16 April 2026


KENINGAU: Seramai 142 peserta dari seluruh Sabah menyertai Kursus Transformasi Penanaman Durian anjuran Jabatan Pertanian Sabah di Dewan Masyarakat Keningau, mencerminkan minat yang semakin meningkat terhadap industri tanaman durian di negeri ini.


Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, program itu merupakan sebahagian daripada inisiatif kementerian untuk memperluas pemindahan ilmu kepada petani dan usahawan tani di semua 26 daerah di Sabah.


Katanya, pelbagai kursus akan dilaksanakan sepanjang tahun, merangkumi tanaman durian, avokado serta kursus berkaitan industri makanan bagi memperkasa keupayaan peserta dalam sektor agromakanan.


“Pada hari ini kita fokus kepada kursus tanaman durian di Keningau, namun di daerah lain kita juga akan melaksanakan kursus avokado dan pelbagai kursus makanan.


“Ini adalah inisiatif Jabatan Pertanian bagi memastikan ilmu dapat disampaikan kepada usahawan, petani dan penanam durian,” katanya ketika berucap pada program berkenaan, di sini, semalam.


Menurut Jamawi, peserta yang hadir terdiri daripada pelbagai daerah termasuk Pitas, Kota Kinabalu dan Papar.


Mengulas lanjut, beliau berkata kementeriannya akan terus membantu penggiat industri, termasuk dari aspek pemasaran melalui kerjasama dengan persatuan berkaitan.


“Pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi memastikan produk yang dihasilkan dapat dipasarkan dengan lebih baik serta memberi pulangan kepada pengusaha,” ujarnya.


Dalam pada itu, beliau memaklumkan Keningau disasarkan sebagai lokasi pembangunan pusat pemprosesan hasil pertanian yang akan diusahakan oleh pemain industri dengan bimbingan Jabatan Pertanian.


Jelasnya, usaha itu dijangka meningkatkan nilai tambah produk pertanian tempatan serta membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk setempat.


Selain itu katanya, program Kebun Dapur akan diperluaskan melalui pendekatan mentor-mentee dengan penglibatan 23 mentor dalam pelbagai bidang termasuk tanaman durian dan penternakan ayam.


“Melalui pendekatan ini, mereka yang berpengalaman akan membimbing peserta secara berterusan bagi melahirkan lebih ramai usahawan berjaya.


“Pendekatan itu juga dijangka dapat mengurangkan kebergantungan kepada subsidi, selain memastikan hanya peserta yang benar-benar berpotensi diberi sokongan.


“Jika sebelum ini bantuan diberikan tanpa penilaian menyeluruh, kini kita menyasarkan sekurang-kurangnya 80 peratus peserta berjaya melalui sistem bimbingan yang lebih tersusun,” katanya.


Dalam aspek pembiayaan, Jamawi berkata kerajaan negeri turut bekerjasama dengan Perbadanan Pinjaman Sabah bagi menyediakan kemudahan pinjaman sehingga RM30,000 tanpa faedah, selain skim pinjaman berkadar faedah rendah sekitar satu peratus melalui Agrobank.


Menurut beliau inisiatif itu bertujuan membantu peserta berpotensi menceburi industri pertanian secara komersial.


Sementara itu, kementerian juga akan melancarkan Jelajah Kebun Dapur bersempena Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah yang dijadual berlangsung pada 1 Mei di Papar.


“Orang ramai dijemput hadir untuk melihat pelbagai inisiatif di bawah program Kebun Dapur serta peluang yang ditawarkan dalam sektor pertanian,” katanya.


Jamawi menegaskan usaha berterusan dalam pendidikan dan bimbingan petani penting bagi memastikan sektor pertanian Sabah terus berkembang secara mampan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page