top of page
Wartawan Nabalu News

Kuskop adakan majlis berbuka puasa bersama warga kementerian dan agensinya

Ewon bergambar bersama ketua-ketua agensi Kuskop.

31 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mengadakan Majlis Berbuka Puasa bersama warga kementerian dan agensi-agensi di bawah kementerian itu, di sini, hari ini.


Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, majlis seumpama ini selari dengan maksud Madani, di mana ianya merupakan usaha membentuk dan membina masyarakat dengan menyemai nilai-nilai murni kekeluargaan.

Ewon ketika berucap pada majlis itu.

"Hari ini merupakan hari ke sembilan puasa, justeru saya mendoakan agar semua diberikan kesihatan dan kesejahteraan diri untuk menjalani ibadah berpuasa sehingga ke penghujungnya.


"Majlis ini boleh dijadikan sebagai medium untuk merapatkan tali persaudaraan dan mewujudkan semangat “kekeluargaan” dalam kalangan warga KUSKOP dan Agensi.


"Semoga komitmen dan kerjasama yang telah terjalin di antara warga KUSKOP dan Agensi selama ini bukan sahaja dapat diteruskan, malah dapat diperkukuh dalam melaksanakan tanggungjawab membantu memperkasa ekosistem keusahawanan dan koperasi di negara ini," katanya.

Ewon bergambar bersama pegawai-pegawai Bahagian Unit Komunikasi Korporat Kuskop.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Saraswaty Kandasamy, Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan Keusahawanan Datuk Haji Zamri Salleh, Timbalan Ketua Setiausaha Dasar Dan Pemantauan Noor Afifah Abdul Razak, ketua-ketua pegawai eksekutif, pengarah-pengarah urusan agensi Kuskop dan semua warga kerja kementerian.


Ewon berharap dengan adanya kerjasama erat antara warga Kementerian dan Agensinya semua perancangan dan cabaran sepanjang tahun ini dapat ditangani dengan baik.

"Pelbagai perancangan dan cabaran yang kita akan sama-sama tempuhi sepanjang tahun 2023 ini, dalam usaha kita membantu golongan usahawan dan koperasi.


"Segala perancangan ini hanya dapat dicapai dengan kerjasama erat Kementerian dan Agensi sebagai satu keluarga iaitu “keluarga KUSKOP”," katanya.


Ewon berkata, bagi menghormati kepelbagaian kaum dan agama beliau memakai baju Melayu.

Ewon bergambar bersama pegawai-pegawai pejabat Menteri.

“Dalam keluarga saya, ada yang menyambut Raya dan Tahun Baharu Cina. Walaupun berbeza anutan agama namun kami menyambut semua perayaan dalam  satu ikatan kekeluargaan.


“Sebab itu, melihat majlis ini untuk warga Kementerian maka pada hari ini saya berbaju Melayu sebagai ahli keluarga kementerian kita dan berharap sambutan atau perayaan-perayaan lain juga kita rayakan bersama sebagai warga Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Ewon menyampaikan sumbangan zakat RM10,000 kepada Pertubuhan Warissn suci, turut kelihatan Zamri (kiri), Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA Datuk Mohd Salem Kailany (kanan) dan Noor Afifah (tengah).

“Saya percaya dengan adanya semangat kekeluargaan kita dapat melaksanakan perkhidmatan dan pelayanan terbaik kepada seluruh rakyat negara ini,” katanya.


Comments


bottom of page