top of page
  • Wartawan Nabalu News

KUSKOP tingkat had pembiayaan maksimum Skim Pembiayaan Kontrak-i sehingga RM200 ribu

27 Januari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PENSIANGAN: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui TEKUN Nasional telah menaikkan had pembiayaan maksimum Skim Pembiayaan Kontrak-i sehingga RM200,000 mulai bulan ini (Januari).


Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, peningkatan had maksimum pembiayaan ini dilaksanakan setelah mengambil kira maklum balas serta had nilai perolehan kerja bagi kontraktor G1 bernilai RM200,000 dan ke bawah.


Katanya, Skim Pembiayaan Kontrak-i merupakan skim yang menawarkan akses pembiayaan segera kepada usahawan yang mendapat kontrak kerja atau pembekalan yang diperolehi secara terus daripada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Agensi Kerajaan dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan mencagarkan kontrak kerja tersebut dengan nilai pembiayaan sehingga RM200,000.


"Pada tahun ini, TEKUN telah memperuntukkan RM200 juta dengan sasaran lebih 3,100 usahawan dijangka akan menerima manfaat ini.


"Selain itu, KUSKOP juga telah mengambil inisiatif mewujudkan program groombig yang bertujuan membantu usahawan di bawah agensinya mendapatkan pembiayaan yang lebih besar, latihan dan

pembangunan kapasiti serta pembangunan produk usahawan yang disediakan oleh agensi lain di bawah KUSKOP,” katanya ketika merasmikan Pejabat TEKUN cawangan Pensiangan, di sini, hari ini.


Ewon berkata, dalam program groombig, usahawan TEKUN yang berkelayakan dan mempunyai rekod bayaran balik yang baik akan disokong oleh TEKUN untuk mendapatkan pembiayaan melebihi RM100,000 daripada agensi lain

di bawah KUSKOP.


Menurutnya, sehingga kini di bawah Progam Groombig seramai 113 usahawan TEKUN mendapat pembiayaan daripada PUNB, Bank Rakyat dan SME Bank berjumlah RM17 juta.


"Daripada jumlah tersebut seramai 23 usahawan TEKUN mendapat pembiayaan daripada PUNB berjumlah RM5.5 juta, 63 orang mendapat pembiayaan daripada Bank Rakyat berjumlah RM3.03 juta dan 27 orang mendapat pembiayaan daripada SME Bank berjumlah RM8.5 juta.


"TEKUN juga turut memberi pembiayaan kepada 28 usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang layak dengan nilai pembiayaan RM926,000," katanya.


Ewon berkata, KUSKOP membuat permohonan tambahan melalui 185 inisiatif belanjawan 2023 berjumlah RM666 juta.


" Permohonan ini termasuk program baru yang dikenali sebagai Skim Pembiayaan Online TEKUN (SPOT) berjumlah RM50 juta dan peruntukan tambahan Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) berjumlah RM20 juta," katanya.


Sementara itu, Ewon menjelaskan Sejak ditubuhkan pada tahun 1998 sehingga Disember 2022, TEKUN Nasional telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM8.05 bilion kepada 543,657 usahawan melalui 170 cawangannya di seluruh

negara.


Katanya, bilangan ini termasuk pembiayaan kepada 23,017 peniaga dari kalangan masyarakat India bernilai RM396.8 juta di bawah program Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) yang diperkenalkan pada 2008.


"Pada masa yang sama, selain daripada pembiayaan kepada masyarakat India, TEKUN juga memberi pembiayaan kepada golongan sasar atau focus group seperti golongan orang kelainan upaya (OKU), bekas banduan, bekas penagih dadah (AADK) dan juga masyarakat Siam yang mempunyai warganegara.


"Bagi negeri Sabah, TEKUN Nasional telah menyalurkan RM831.9 juta kepada 58,516 usahawan sejak 1998 sehingga

kini.


"Selain itu, sehingga kini TEKUN telah membuat kutipan bayaran balik sebanyak RM6.1 bilion. Jumlah ini telah dipinjamkan semula (role-over) sebagai pembiayaan kepada usahawan menjadikan jumlah keseluruhan pembiayaan yang TEKUN keluarkan sebanyak RM8.05 bilion berbanding peruntukan yang disediakan sebanyak RM4 bilion, "katanya.

Comments


bottom of page