Langgar Syarat Lesen, Dua Bot Tunda Ditahan Maritim Malaysia
- nabalunews
- 7 hours ago
- 2 min read

8 Jun 2025
KUDAT: Tindakan berani dua bot nelayan jenis pukat tunda menjalankan aktiviti penangkapan ikan kurang tiga batu nautika dari pantai mengundang padah apabila berjaya dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), semalam.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, bot berkenaan ditahan kira-kira jam 6.30 petang hasil maklumat yang diperoleh daripada
Sistem Pengawasan Laut (SWASLA).
Katanya, bot berkenaan dikesan di kedudukan kira-kira 2.6 batu nautika timur laut muara Marina, daerah berkenaan.
“Bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan menerusi Op
Sejahtera, Op Pluto Timur, Op Cegah PATI dan Op Tiris segera digerakkan ke lokasi
sasaran.
“Sebaik tiba di lokasi, bot berkenaan didapati sedang menarik pukat pada jarak yang dilarang iaitu kurang tiga batu nautika dari pantai,” katanya dalam kenyatam media, hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati, dua daripada enam individu termasuk tekong merupakan warganegara tempatan dan empat lagi adalah warga Indonesia dan semua mereka memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Sementara itu, sebuah lagi bot nelayan turut ditahan di lokasi kira-kira 2.2 batu nautika
timur perairan Tagumamal kira-kira jam 7.00 petang.
Menurutnya, bot berkenaan dilaporkan membawa sembilan kru, termasuk seorang warga Filipina yang didapati mempunyai dokumen pengenalan diri yang meragukan.
“Keseluruhannya, Maritim Malaysia berjaya merampas lebih 1.5 tan ikan pelbagai
jenis dan 2 tan ikan baja hasil daripada kedua-dua penahanan
“Semua suspek, termasuk bot dan hasil rampasan, telah dibawa ke jeti Zon Maritim
Kudat dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen
penangkapan ikan serta Akta Imigresen 1959/63 kerana pemilikan dokumen yang
mencurigakan,” katanya.
Sementara itu, Hasbullah berkata, Maritim Malaysia menegaskan pihaknya akan terus memperketatkan rondaan dan
pemantauan di seluruh perairan Sabah.
Katanya, ia bagi membanteras aktiviti penangkapan ikan secara haram yang bukan sahaja melanggar undang-undang, malah menjejaskan sumber laut negara.
“Orang ramai diminta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti
mencurigakan di laut melalui talian 088-611858 (Pusat Operasi Maritim Kudat) atau talian kecemasan 999, yang beroperasi 24 jam,” katanya.
Comments