top of page
  • Wartawan Nabalu News

Lebih 10,000 PATI di Sabah dihantar balik sejak 2021


29 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Sabah telah mengusir sebanyak 10,388 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dari pelbagai negara sejak tahun 2021 hingga 27 Mac 2023.


Ini adalah hasil daripada pelbagai operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan di seluruh negeri untuk menangani masalah pendatangan haram.


Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, jumlah PATI yang diusir pada 2023 menunjukkan angka agak tinggi dengan 1,991 telah diusir dalam tempoh tidak sampai tiga bulan.


“Berdasarkan pelaksanaan aktiviti penguatkuasaan melibatkan premis perniagaan atau perusahaan, sepanjang tahun 2021, sebanyak 1,076 operasi telah dilaksanakan dengan tangkapan sebanyak 1,881 PATI dan 45 majikan.


“Jabatan Imigresen Negeri Sabah telah melaksanakan 700 operasi, melibatkan tangkapan 1,437 PATI daripada pelbagai negara dan 14 majikan atas pelbagai kesalahan Imigresen pada tahun 2022.


“Sehingga tahun 2023, terdapat 265 operasi, 487 PATI ditangkap, dua majikan dan 6,405 pemeriksaan dibuat pada tahun ini,” katanya.


Beliau menjawab soalan Lo Su Fui (GRS - Tawau) yang meminta Kementerian Dalam Negeri menyatakan tindakan terhadap PATI di Sabah dalam Sidang Parlimen di sini pada Rabu.


Ujarnya lagi, Jabatan Imigresen Sabah akan terus mempergiatkan usaha mengusir PATI ke negara asal dan berunding dengan kerajaan Filipina dan Indonesia bagi mempercepatkan proses pengusiran.

Kommentarer


bottom of page