top of page
  • Wartawan Nabalu News

Lebih 200 golongan asnaf terima sumbangan One-Off Perdana Menteri di Kinabatangan


5 Ogos 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KINABATANGAN : Lebih 200 golongan asnaf, ibu tunggal, kanak-kanak bekeperluan khas, orang kelainan upaya serta warga emas dalam kawasan Kinabatangan menerima sumbangan one-off Perdana Menteri pada Program Ramah Mesra Madani Bersama Anak-Anak Istimewa dan Asnaf Daerah Kinabatangan di Dewan Sri Lamag, Kinabatangan, hari ini.


Majlis itu disempurnakan Setiausaha Politik Kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin yang mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Kajang merangkap Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, David Cheong Kian Young, Pegawai Khas Kepada Ketua Menteri yang juga Pengerusi Unit Khidmat Masyarakat MIHA (UKMM), Mohd Ismail Ayob, Pengerusi Felcra Niaga, Datuk Sangkar Rasam, Ketua Bahagian PKR Lamag, Datu Azmi Datu Tambuyung, Pegawai Pendidikan Daerah Kinabatangan, Dr.Dalmansa Tahil serta jemputan lain.


Antara penerima termasuk Persatuan Muslimah Kinabatangan, Persatuan Ibu Tunggal, Pusat Pemulihan Dalam Komuniti @ OKU Kinabatangan, Pendidikan Khas SMK Bukit Garam II dan murid PPKI SK Bukit Garam II, Kinabatangan serta ziarah kasih rumah ke rumah.


Azman berkata sumbangan kali keempat disumbangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pertama bagi negeri Sabah itu merupakan usaha membantu rakyat yang mempunyai keperluan khas serta golongan yang memerlukan termasuk di luar bandar.


Dalam perkembangan lain, jelasnya, Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri juga komited dalam usaha menoktahkan kemiskinan tegar di Sabah seperti yang telah dicapai di Perak pada tahun ini.


Katanya, usaha itu dilaksanakan menerusi program pembasmian kemiskinan di mana pemimpin setempat turut memainkan peranan dalam memastikan kelancarannya.


Sementara itu, Datu Azmi dan Mohd Ismail mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Perdana Menteri yang menyantuni rakyat yang memerlukan di Sabah amnya dan Kinabatangan khasnya.


Mereka juga berharap lebih banyak pembangunan dapat dibawa ke daerah Kinabatangan antaranya mini kompleks sukan yang diperlukan oleh masyarakat termasuk pelajar sekolah untuk berlatih dengan kemudahan sukan yang sewajarnya.


Azman dalam respon beliau menerusi sidang media selepas majlis itu berkata beliau akan berusaha membawa permohonan itu ke pengetahuan Perdana Menteri.


Pihaknya turut melihat adanya keperluan membaik pulih bumbung Dewan Sri Lamag yang difahamkan sudah berusia 30 tahun selain kemudahan lain yang turut perlu diperbaiki.


Ibubapa dan penerima yang ditemui pada majlis itu turut merakamkan rasa syukur atas bantuan berkenaan yang sedikit sebanyak membantu mereka membeli barangan keperluan anak-anak mereka.

Comments


bottom of page