top of page

Lebih 300 belia hadiri jelajah Destini SMJ Anak Muda Sabah di Keningau

  • nabalunews
  • 52 minutes ago
  • 1 min read

18 April 2026


KENINGAU: Lebih 300 belia menghadiri siri jelajah Program Destini Sabah Maju Jaya (SMJ) Anak Muda Sabah yang berlangsung di Kolej Vokasional Keningau, di sini, baru-baru ini.


Program anjuran Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR), Jabatan Ketua Menteri Sabah itu bertujuan meningkatkan pemahaman golongan muda terhadap hala tuju pembangunan negeri menerusi inisiatif SMJ.


Pengarah Kolej Vokasional Keningau, Lumang Anak Lang berkata, penganjuran program berkenaan berjaya menyuntik semangat baharu dalam kalangan pelajar untuk mendalami visi pembangunan negeri.


“Program ini menjadi platform penting bagi anak muda Sabah berkongsi pandangan, idea serta aspirasi mengenai pelaksanaan hala tuju SMJ.


“Dialog terbuka bersama Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Azrul Ibrahim bukan sekadar pertemuan, sebaliknya menjadi wadah menyatukan suara dan aspirasi dalam memacu kemajuan Sabah, khususnya melalui pemerkasaan sektor pendidikan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada program itu. Turut hadir Pengarah IKRAR, Dr Zainuddin Sabu.


Menurutnya, menerusi dialog dua hala itu, pelajar diberi ruang untuk mengemukakan pandangan dan cadangan bagi memperkukuh pelaksanaan SMJ, sekali gus menjadikan mereka bukan sahaja penerima manfaat dasar, tetapi juga penyumbang kepada pembentukannya.


Program Destini SMJ Anak Muda Sabah merupakan sebahagian daripada siri jelajah dan dialog anjuran IKRAR di seluruh negeri bagi menyebarluaskan maklumat berkaitan dasar dan inisiatif SMJ.


Pelaksanaan program itu turut memberi peluang kepada golongan belia menyuarakan pandangan mengenai pelbagai isu pembangunan, termasuk infrastruktur, pendidikan dan pemerkasaan modal insan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page