Lebih banyak lagi produk keluaran tempatan Sabah mampu tembusi pasaran global - Phoong
15 Oktober 2024
KENINGAU: Kerajaan negeri melalui Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, yakin lebih banyak lagi produk industri agromakanan keluaran usahawan tempatan dapat menembusi pasaran global.
Menterinya, Datuk Phoong Jin Zhe berkata, ini tidak mustahil kerana pada masa ini beberapa produk industri agromakanan telahpun berjaya menembusi pasaran di luar negara.
Katanya, antaranya adalah keropok amplang produk keluaran Tawau telah menembusi pasaran di Jepun.
"Kita juga ada produk agromakanan seperti aiskrim potong yang sudah menembusi pasaran di China dan Hong Kong serta tempe yang menembusi pasaran di New Zealand" katanya kepada media selepas mengadakan lawatan di Kolej Geometika di sini pada Isnin.
Selain itu katanya, limau pamelo hasil usahawan tempatan di daerah Tenom juga kini sudah menembusi pasaran di negara jiran Singapura.
Pada masa yang sama Phoong berkata, Sabah telah mendapat satu pencapaian yang amat memberangsangkan dalam sektor pembuatan.
"Dalam sektor ini kita telah mencapai peningkatan 4.4 peratus pada tahun 2023 merupakan yang tertinggi di Malaysia berbanding 0.17 peratus tahun sebelumnya" jelasnya.
Dalam pada itu katanya, Sabah perlu terus melonjakkan pembangunan ekonomi khasnya dalam perindustrian seiring dengan negara-negara lain di dunia yang mahu membangunkan industri semula.
"Kalau kita lihat Amerika Syarikat, industri perkilangan di negara itu telah menyepi selama lebih kurang 34 tahun, kini mereka menarik semula pemain industri dari negara China untuk kembali melabur di negara mereka" kata Phoong.
Ini katanya, menunjukkan betapa pentingnya pelbagai industri di Sabah perlu diperkasakan kerana ia bukan sahaja melonjakkan ekonomi negeri tetapi sekali gus menwujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
Pada majlis ini Phoong menyampaikan sumbangan Kementerian Pembangunan Industri Dan Keusahawan Sabah sebanyak RM20,000 untuk Kolej Geomatika Keningau.
Hadir sama Rektor/Vice President Kolej Geomatika Keningau Prof Madya Faridah Muri, Ahli Dewan Negara, Norita Sual, ketua-ketua jabatan dan pemimpin-pemimpin masyarakat.
Comments