top of page
nabalunews

Lebih ramai juruukur tanah diperlukan bagi siapkan penyukatan tanah Program (PANTAS)

29 Ogos 2024


PENAMPANG : Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah memohon kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Sabah untuk melantik kakitangan kontrak sementara khas bagi melaksanakan kerja penyukatan tanah di bawah Program Khas Pengukuran Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS).


Pengarah JTU Sabah, Datuk Sr Bernard Liew Chau Min berkata ketika ini program PANTAS di 16 lagi kampung belum dapat dimulakan akibat kekangan juruukur tanah yang tidak mencukupi.


Selain itu, Bernard berkata terdapat kira-kira 20 kampung lagi di seluruh Sabah yang sedang dalam proses permohonan PANTAS.


Katanya ketika ini JTU Sabah sedang melaksanakan kerja penyukatan tanah di bawah program PANTAS di 14 kampung di seluruh Sabah.


"16 kampung sedang menunggu untuk kerja penyukatan tanah di bawah program PANTAS, namun ia tidak dapat dimulakan kerana kita kekurangan juruukur tanah," katanya.


Beliau berkata demikian dalam ucapan

di pelancaran penyukatan tanah di Bawah Program PANTAS Kampung Togudon, di sini, hari ini.


Program ini disempurnakan oleh oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick yang juga Ahli Parlimen Penampang.


Bernard berkata selain itu, mengikut rekod JTU Sabah, terdapat banyak lagi kawasan tanah yang telah diduduki oleh penduduk kampung sejak sekian lama di Sabah yang belum mempunyai geran tanah dan layak untuk dimasukkan dalam program PANTAS.


Katanya setakat ini JTU Sabah telah mengukur kawasan tanah seluas 181,047 hektar atau 447,377 ekar bagi program PANTAS di Sabah.


Sehubungan itu beliau memohon kepada ICU Jabatan Perdana Menteri untuk meneruskan program PANTAS di bawah Rancangan Malaysia ke-13.


Beliau amat berterima kasih kepada Ewon kerana membawa perkara ini ke mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


"Dan di sana telah direkodkan bahawa Kerajaan Persekutuan akan terus memberikan peruntukan yang lebih kepada program PANTAS dan menerusi program ini, JTU Sabah dapat menunaikan tanggungjawab bagi menyelesaikan kerja-kerja pengukuran tanah adat negeri (NCR) di Sabah," katanya.

Comments


bottom of page